ABU DHABI: Nilai ‘plat kenderaan cantik’ mencapai kemuncaknya kelmarin apabila sebuah kereta dengan plat kenderaan Nombor 1 mencatat rekod jualan berharga AS$14 juta (RM45.1 juta) dalam lelongan amal di sini.
“Saya membelinya kerana ia adalah angka terbaik,” kata Saeed Khouri, seorang anggota keluarga terkenal Abu Dhabi yang mengumpul kekayaan dalam bidang hartanah.
“Saya membelinya kerana saya mahu menjadi yang terbaik di dunia,” katanya.
Saeed enggan mendedahkan berapa banyak kereta yang dimilikinya dan kenderaan yang mana bakal menggunakan plat tunggal pemecah rekod itu. Plat kenderaan cantik adalah beberapa siri plat kenderaan unik yang mana pelelong di negara Teluk kaya minyak itu mula melelongnya sejak Mei lalu.
Namun, tidak seperti plat kenderaan biasa yang dikeluarkan kepada pemandu di sini, kebanyakan siri plat kenderaan cantik lain yang menggunakan kedua-dua huruf cetakan Arab dan Barat, mencatat bandar dan negara pengeluar, namun plat milik Khouri hanya mencatat nombor tanpa huruf.
Rekod jualan itu mengatasi pesaingnya, plat kenderaan tempatan yang hanya memiliki Nombor 5 di atasnya - tanpa huruf Arab atau perkataan yang dimiliki broker saham tempatan Talal Khouri, menurut pegawai di rumah lelongan negara itu. Selepas Talal Khouri, yang tidak mempunyai sebarang pertalian keluarga dengan Saeed, membelinya dengan harga AS$6.8 juta (RM21.9 juta) dalam lelongan sebelumnya, plat itu menghuni kereta Rolls-Royce miliknya.
Hasil jualan lelongan plat kenderaan itu yang diadakan di sebuah hotel mewah di sini, akan disalurkan kepada pusat pemulihan mangsa kemalangan jalan raya.
Kelmarin, 90 plat kenderaan dilelong yang mencatat jualan berjumlah AS$24 juta (RM77.3 juta).
Lebih lima acara sebelumnya berjaya mengumpul lebih AS$50 juta (RM161.1 juta).
Lebih lima acara sebelumnya berjaya mengumpul lebih AS$50 juta (RM161.1 juta).
- AP