LONDON: Jurutera Perancis, Guy Negre mendakwa beliau bakal menjual kereta konsep ciptaannya yang menggunakan udara sebagai bahan api dan terbukti tidak mencemar alam sekitar. Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) melaporkan, kereta dikenali OneCAT itu mempunyai lima tempat duduk dan badannya diperbuat daripada gentian kaca. Malah, ia yang seberat 350 kilogram itu dikatakan berharga kira-kira £2,500 (RM17,500) setiap satu.
Ia mampu bergerak dengan mampatan udara yang disimpan dalam tangki gentian karbon. Menariknya, tangki itu boleh diisi udara daripada sejenis alat dalam masa tiga minit - lebih pantas daripada bateri kereta. Kereta itu turut mempunyai alternatif lain - dicaj menerusi suis tenaga selama empat jam yang disediakan kompresor dalam kereta berkenaan.
Bagi perjalanan jauh, udara mampatan berkenaan dapat melakukan tugasannya dengan menggerakkan alat pembakar bahan api yang memanaskan udara berkenaan.
“Udara yang panas itu meningkatkan tekanan pada omboh. Alat pembakar itu pula boleh menggunakan pelbagai jenis cecair bahan api,” kata Negre.
Beliau mendakwa bagi perjalanan jauh, kereta itu memerlukan udara sebanyak 120 mpg (batu setiap gelen). Di kawasan bandar, nilai yang diperlukan jauh lebih murah.
“Pembeli pertama kenderaan itu adalah mereka yang mencintai dan menghargai alam sekitar. Pada masa sama, ia juga harus menjimatkan,” katanya.
Hakikatnya, Negre sudah menjanjikan ciptaannya itu lebih sedekad lamanya dan belum dapat direalisasikan. Namun kalangan pemerhati bebas lebih yakin dengan kemampuannya itu selepas beliau mendapat sokongan syarikat konglomerat India, Tata untuk menyelesaikan enjin unik berkenaan. Tata adalah satu-satunya firma yang diberikan lesen oleh Negre untuk menjual kereta berkenaan. Ini menyebabkan jualan kereta itu cuma dihadkan di India.
Bagi jualan di negara lain, Negre berharap menarik perhatian beratus-ratus pelabur bagi pembinaan kilang dengan memastikan kereta itu menggunakan 80 peratus bahan tempatan.
- Agensi