Ahad, 17 Februari 2008

Perhimpunan haram cuba ganggu proses pilihan raya


PERHIMPUNAN haram anjuran pertubuhan tidak berdaftar di beberapa tempat di ibu negara kelmarin, dilihat sebagai usaha pihak yang kecewa dan terdesak untuk mendapat perhatian, terutama ketika tumpuan terarah kepada persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-12, pada 8 Mac ini. Tindakan Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf) dan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang sering menjadikan beberapa lokasi di ibu kota sebagai sasaran untuk mengadakan perhimpunan haram, nampaknya sudah melampaui batas kesabaran pihak berkuasa. Sekiranya ia berterusan terutama ketika semua pihak sibuk dengan persediaan pilihan raya, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan lebih keras bagi menghalang ia menjejaskan proses demokrasi itu. Matlamat kumpulan ini mengadakan perhimpunan haram ialah mahu menarik perhatian media asing sekiranya pihak berkuasa bertindak menahan mereka. Apabila ini berlaku, masyarakat antarabangsa yang membaca laporan agensi berita dari Kuala Lumpur beranggapan seolah-olah Malaysia berdepan masalah dalam pilihan raya kali ini walaupun keadaan sebenar jauh daripada situasi itu.

Tujuan Hindraf hanyalah untuk mendapat publisiti murahan kerana sejak menganjurkan perhimpunan akhir tahun lalu, sebahagian isu yang ditimbulkan kumpulan berkenaan sudah diambil tindakan sewajarnya oleh kerajaan. Ini bermakna kerajaan memandang serius masalah yang mereka timbulkan dan berusaha untuk menanganinya segera. Namun sekiranya kumpulan itu terus menganjurkan perhimpunan haram terutama dalam kesibukan parti kerajaan dan pembangkang berdepan dengan proses pilihan raya, tindakan tegas perlu diambil bagi mengelak kebimbangan masyarakat. Pelbagai isu yang kadang kala panas ditimbulkan pembangkang ketika kempen pilihan raya dan pada masa yang sama perhimpunan haram dianjurkan di ibu kota sudah tentu menimbulkan ketegangan. Inilah yang cuba dielak pihak berkuasa. Media asing memang sentiasa mencari ruang untuk melaporkan hal negatif terutama tindakan kerajaan terhadap aktivis demonstrasi ketika berlangsung kempen pilihan raya. Mereka kemudian menunjukkan kepada masyarakat antarabangsa, kononnya kerajaan tidak mengamalkan toleransi dalam pentadbirannya.

Perhimpunan haram yang kerap diadakan di ibu negara menimbulkan keresahan di kalangan warga ibu kota, sama ada peniaga, pelancong dan pengguna jalan raya. Selain menyebabkan kesesakan jalan raya, warga kota juga bimbangkan keselamatan dan gangguan emosi ketika berlangsungnya demonstrasi terutama pada waktu hujung minggu. Pemimpin pertubuhan terbabit seharusnya menyertai parti politik yang boleh menyampaikan hasrat serta mengetengahkan pandangan dan pendapat melalui kempen pilihan raya. Kita berpendapat melalui saluran betul, masyarakat terutama pengundi dapat menilai kehendak mereka. Terpulang kepada pengundi sama ada menyokong atau tidak, yang penting masyarakat membuat pilihan yang adil melalui peti undi yang menjadi asas sistem demokrasi negara. Suara majoriti penduduk negara ini, perlu didengar dan dihormati kumpulan minoriti berkenaan. Rakyat majoriti tidak mahu masalah dibangkitkan melalui demonstrasi jalanan, sebaliknya melalui rundingan atau perbincangan, memandangkan cetusan marah ketika tunjuk perasaan tidak menyelesaikan masalah. Rakyat mahukan suasana ketika pilihan raya terkawal dan selamat walaupun panas dengan pelbagai isu yang ditimbulkan.

Berita Harian