SEPERTI dijanjikan, kerajaan menawarkan 30 peratus atau RM3.7 bilion nilai pakej pembinaan Landasan Elektrik Berkembar Ipoh-Padang Besar kepada kontraktor dan pembekal Bumiputera secara berperingkat mulai bulan ini. Peratusan itu sebahagian daripada RM12.485 bilion nilai projek yang dilaksanakan kontraktor utama projek membabitkan Konsortium MMC-Gamuda (MMC Corporation Bhd dan Gamuda Bhd), yang bakal disiapkan dalam tempoh lima tahun. Mengikut formula pengagihan, kontraktor projek utama mengenal pasti 335 pakej kerja daripada keseluruhan projek untuk diagihkan kepada kontraktor Bumiputera membabitkan kontraktor Bumiputera daripada Kelas A hingga Kelas D. Pembinaan landasan sepanjang 329 kilometer dari Ipoh ke Padang Besar, Perlis berikutan siapnya landasan sama dari Rawang-Ipoh akhir tahun lalu, dijangka meningkatkan pertumbuhan ekonomi di kawasan Utara Semenanjung secara drastik. Bagi memastikan kontraktor Bumiputera yang layak, Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pengangkutan Awam memilih kontraktor, pembekal dan perunding Bumiputera berasaskan keupayaan dan merit menerusi tiga syarat utama menjadi asas pemilihan. Mengikut kriteria itu, kontraktor mesti tulen dan terbabit secara langsung dalam projek itu; berkeupayaan dari segi teknikal dan kewangan, selain mampu menawarkan harga kompetitif. Sebagai permulaan kontrak bernilai RM400 juta diberikan untuk pelbagai projek permulaan membabitkan pembinaan jambatan, landasan, perparitan, bangunan, stesen, pengagihan utiliti dan landskap.
Kita berharap pemilihan kontraktor yang layak dapat menghapus kebimbangan sesetengah pihak mengenai keberkesanan langkah itu. Bagaimanapun, lebih penting lagi ialah kontraktor Bumiputera yang terpilih mesti melakukan kerja terbaik dan menyiapkannya mengikut jadual dalam tempoh lima tahun. Tidak syak lagi, laluan berkembar itu apabila siap nanti dapat menjana ekonomi, selain menjadikan Koridor Ekonomi Wilayah Utara (NCER) sebagai hab logistik, yang bakal memberi 150,000 peluang pekerjaan kepada penduduk setempat. Pelaksanaan projek mengikut jadual amat penting kerana ia sebahagian daripada program pembangunan landasan berkembar kereta api elektrik dari Utara ke Selatan Semenanjung bernilai RM14.5 bilion yang turut membabitkan laluan Seremban-Johor Bahru, selepas ditangguhkan pada 2003. Ketika ini, landasan berkembar kereta api elektrik bagi laluan Seremban-Rawang sudah siap dan digunakan sepenuhnya. Projek itu dilaksanakan sebagai antara komponen penting untuk membentuk Rangkaian Kereta Api Rentas Asia dari Singapura ke Kunming di China. Semakin cepat projek itu siap, makin cepat rakyat mendapatkan manfaatnya, selain menjimatkan kos.
Bagi kita, inilah peluang terbaik bagi kontraktor Bumiputera tulen untuk menunjukkan kemampuan sebenar. Kelewatan melaksanakan projek, walaupun pelbagai alasan diberikan tidak boleh diterima. Kelewatan dan kegagalan mematuhi jadual akan menjejaskan keseluruhan pembangunan bukan saja projek mega terbabit, malah perancangan kerajaan menerusi NCER. Sehubungan itu, amaran awal kerajaan kepada kontraktor Bumiputera yang diberikan projek fasa pertama, kelmarin perlu dijadikan panduan. Kerajaan terpaksa mengambil tindakan tegas terhadap kontraktor gagal, termasuk menghentikan segera kerja yang ditawarkan. Sebagai ganjaran pula, kontraktor yang cemerlang rekod kerja akan menerima lebih banyak projek pembinaan. Justeru, kerajaan tidak boleh dipersalahkan sekiranya bertindak tegas terhadap kontraktor yang tidak mematuhi piawaian ditetapkan.
Berita Harian