SANTA MONICA: Pelakon muda Hollywood, Lindsay Lohan berdepan saat memalukan apabila dipilih menduduki tempat teratas sebagai bintang filem mencatatkan persembahan paling buruk sepanjang tahun lalu pada majlis penganugerahan Razzie, semalam.
Majlis anugerah tahunan bagi memilih senarai penggiat seni dan menamakan filem paling buruk keluaran Hollywood sepanjang 2007. Ia bersifat antiOscar yang diadakan sehari sebelum anugerah gilang-gemilang Academy yang memilih barisan penggiat seni filem yang cemerlang dan lebih disegani.
Lohan dipilih bersama seorang lagi pelakon paling teruk Razzie atau Golden Raspberry berikutan dua peranannya dalam filem berjudul I Know Who Killed Me yang turut dipilih sebagai filem paling buruk.
Filem berkenaan turut memenangi lapan anugerah terburuk, termasuk pengarah filem kepada Chris Sivertson, lakon layar paling buruk bagi skrip tulisan Jeff Hammon. Ia turut dipilih sebagai filem seram dan filem pembikinan semula paling buruk.
Lohan menerima anugerah mengaibkan itu ketika dia berdepan pelbagai masalah peribadi termasuk dua kali ditahan kerana memandu dalam keadaan mabuk, dakwaan memiliki dadah, ditahan di penjara dan terpaksa memasuki pusat pemulihan kerana menyalahgunakan dadah. Sementara itu, pelakon komedi Eddie Murphy turut menerima tiga anugerah sebagai pelakon utama, pelakon pembantu dan pelakon wanita paling buruk, bagi tiga watak yang dilakonkannya di dalam filem berjudul Norbit. Filem itu turut dipilih sebagai filem yang mempunyai judul paling buruk.
Anugerah Razzies dimulakan pada 1980, sebagai gurauan ringan kepada anugerah Academy dan penghormatan kepada mereka yang memberi sumbangan paling teruk dalam industri filem pada tahun sebelumnya. Tahun ini anugerah Razzies diadakan di pusat Magicopolis di Santa Monica sehari menjelang penganugerahan Oscar.
Pelakon yang dipilih bagi anugerah Razzies jarang hadir menerima hadiah mereka, iaitu sebuah gong plastik yang disembur warna emas berbentuk raspberi yang menurut penaja bernilai AS$4.89 (RM16). Sementara itu, persiapan akhir sudah dibuat menjelang anugerah Oscar Ke-80 di Kodak Theatre bagi memastikannya kekal sebagai antara acara berprestij yang gilang-gemilang bagi mengiktiraf barisan penggiat seni, termasuk pelakon lelaki dan wanita terbaik.
Ia juga sebagai menyusuli keadaan tidak menentu yang menyelubungi acara itu berikutan mogok oleh barisan penulis filem Hollywood.
Jalan raya sekitar lokasi ditutup bagi memastikan kelancaran majlis anugerah yang bakal dihadiri kira-kira 3,400 tetamu termasuk pelakon popular.
- AFP