PENAMAAN calon sudah selesai semalam dan kini semua parti, baik Barisan Nasional (BN) mahupun pembangkang masing-masing mula menggerakkan jentera pilihan raya bagi memastikan 13 hari berkempen yang diperuntukkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilaksanakan sebaik-baiknya bagi manfaat parti, calon dan pengundi. BN sudah memenangi tujuh kerusi Parlimen dan dua Dewan Undangan Negeri (DUN) tanpa bertanding, manakala Pas menang satu kerusi DUN. Berbanding Pilihan Raya Umum 2004, kali ini tidak banyak calon yang menang tanpa bersaing kerana semua pihak, baik BN dan pembangkang, masing-masing membuat persediaan awal, termasuk memperincikan maklumat diperlukan SPR. Kes membabitkan calon BN di Kelantan yang terpaksa menyerah kerusi kepada Pas di DUN Kijang, adalah kesilapan yang sepatutnya boleh dielakkan sekiranya saranan pucuk pimpinan parti diberi perhatian, terutama persediaan teknikal pencalonan. Kita berharap tempoh 13 hari berkempen itu berakhir dalam suasana lebih harmoni dan demokratik tanpa kekecohan. Berdasarkan suasana pada hari penamaan calon semalam, kita yakin proses berkempen kali ini berjalan lancar. Ini berbeza pada pilihan raya kecil, biasanya bahang panas timbul disebabkan semua penyokong parti politik bertumpu di satu kawasan saja. Sebaliknya, pada pilihan raya umum, hanya jentera parti bergerak di kawasan masing-masing. Kita yakin dalam proses berkempen dan meraih undi kali ini, semua pihak khususnya penyokong parti masing-masing dapat melaksanakan tanggungjawab dan mengikut peraturan ditetapkan SPR dan polis, sekali gus dapat menghindari suasana panas dan tegang ketika bertembung dengan lawan.
Kita juga berharap perasaan tidak puas hati di kalangan penyokong calon yang tidak terpilih dan digugurkan, khususnya BN, tidak menyebabkan mereka terus berpatah arang. Dalam hubungan ini, pendirian pucuk pimpinan parti perlu dipatuhi. Pemimpin atau calon, datang dan pergi, sebaliknya keutuhan parti perlu dipelihara ketika parti berhadapan dengan pilihan raya untuk membentuk kerajaan. Semua masalah, kesedihan dan kemarahan membabitkan pemilihan calon perlu diketepikan bagi memastikan jentera pilihan raya berjalan lancar tanpa sebarang gangguan. Sebahagian pengundi melihat kelicinan jentera parti sebagai sesuatu yang penting sebelum mengundi. Sekiranya proses kempen dijalankan secara tidak teratur dan kucar-kacir, ia boleh mengubah persepsi pengundi terhadap BN. Ini yang perlu dielakkan. Walaupun masalah dihadapi BN ini agak kecil, ia perlu diberi perhatian kerana BN secara keseluruhan menerima konsep bekerjasama secara kolektif antara parti komponennya. Ini berbeza dengan pakatan pembangkang yang lebih tertumpu ketika menghadapi pilihan raya. Itulah sebabnya, Pengerusi BN, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, menyelar pakatan itu dan menyifatkan hanya 'syok-syok' saja.
Strategi parti yang bertanding pada pilihan raya kali ini sudah diatur sejak beberapa bulan lalu, termasuk menyediakan manifesto. Kita percaya BN sekali lagi akan menyediakan satu manifesto pilihan raya yang menyeluruh bagi penduduk di Semenanjung, Sabah dan Sarawak kerana komponen parti mempunyai pendekatan dan persefahaman bersama. Setakat ini, pembangkang, baik DAP, Pas dan PKR, yang menyertai pakatan longgar dilihat mempunyai falsafah berbeza. Kerana itu, masing-masing menyediakan manifesto bercorak tempatan dan tidak berbentuk nasional seperti BN. Manifesto penting supaya rakyat dapat meneliti secara terperinci apa yang bakal diberikan parti untuk lima tahun akan datang dan apa sudah dilaksanakan mereka empat tahun lalu.
Berita Harian