LINDSAY LOHAN dilaporkan berkongsi jenis dadah yang sama dengan mendiang Heath Ledger. Perkara itu didedahkan oleh bapa Lindsay, Michael Lohan.
Menurut Michael, anak gadisnya yang berusia 21 tahun itu diberi preskripsi jenis-jenis ubat yang sama seperti ubat-ubatan yang digunakan oleh Ledger sejurus sebelum dia meninggal dunia di apartmentnya di New York pada bulan lepas.
Ledger disahkan meninggal kerana mengambil ubat-ubatan tersebut dalam jumlah yang berlebihan.
Beritahunya kepada majalah In-Touch, "Sebelum kematian Heath lagi saya sudah beritahu Lindsay betapa saya memandang berat mengenai pil-pil yang diambilnya itu. Doktor memberikan Lindsay mengambil pil Oxycontin ketika pergelangan kakinya terseliuh dulu.
"Lindsay juga disarankan memakan pil Adderall bagi menenangkan kecelaruan fikirannya akibat attention deficit disorder (ADD), pil Xanax untuk penyakit depresi dan kerisauan dan pil Ambien untuk masalah insomnia."
Michael yang mengunjungi Lindsay ketika dia menerima rawatan ketagihan alkohol di klinik pemulihan Cirque Lodge di Utah pada tahun lepas melahirkan kebimbangan dengan sikap doktor sejak akhir-akhir ini dalam memberi preskripsi ubat kepada golongan muda yang bermasalah.
Michael menegaskan, "Saya bukan sahaja bimbangkan Lindsay, tetapi juga semua golongan muda yang bermasalah di luar sana. Kebanyakan anak-anak muda ini tidak patut diberikan preskripsi sesetengah dari ubat tersebut, sedangkan ia boleh digantikan dengan memberikan panduan dari segi kerohanian, kaunseling dan latihan."
Dalam pada itu, Lindsay yang turut digosip pernah menjalinkan hubungan dengan Ledger baru-baru ini membuat ulasan mengenai kematian aktor berusia 27 tahun itu.
Katanya, "Kematian Heath sangat tragis. Dia adalah contoh utama mengenai apakah yang dilakukan oleh industri (hiburan) ini terhadap seseorang individu. Tetapi saya pasti yang saya tidak akan mengikut jejak langkah Heath."
Kosmo!