Ahad, 17 Februari 2008

Membudayakan tabiat suka membaca


Pesta Buku Antarabangsa KL 2008 diharap beri suntikan baru industri tempatan

SAYA selalu menyebutkan bahawa berdasarkan nilai, industri buku negara lebih kecil daripada industri ayam pedaging (broiler chicken). Hari ini nilai industri buku negara dikatakan RM1.5 bilion setahun tetapi angka itu banyak dipertikaikan oleh mereka yang terbabit dalam industri sendiri. Apa yang kita tahu industri ayam pedaging melebihi RM2 bilion di negara ini. Tambahan pula industri buku di negara ini banyak tertumpu pada buku yang berkaitan dengan sekolah. Hanya 30 peratus jumlah penerbitan buku di negara ini buku bacaan umum.

Dalam setahun, Malaysia menerbitkan paling banyak 6,500 judul baru oleh lebih 200 penerbit yang dikatakan aktif. China menerbitkan 180,000 judul buku baru setahun, United Kingdom (UK), 160,000 judul, Amerika Syarikat (AS) 60,000 dan Korea Selatan 40,000. Sasaran kita, berdasarkan jumlah penduduk sepatutnya 12,000 judul buku setahun.

Penerbit negara ini yang mensasarkan buku untuk umum biasanya memberikan perhatian pada novel ringan atau buku agama. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selain diberikan amanah menerbitkan buku teks sekolah, mengeluarkan juga lebih 300 judul buku umum pelbagai disiplin. Moral ceritanya, bilangan buku untuk negara ini tidak mencukupi dan sasaran untuk memastikan lebih banyak buku dalam kategori buku umum belum dicapai.

Industri buku adalah industri berbilion ringgit di dunia. Hari ini di dunia, sebuah buku baru terbit setiap 30 saat. Lebih 50 juta judul buku terbit sejak terciptanya mesin Gutenberg yang memungkinkan percetakan meluas pada pertengahan abad ke-15. Buku tidak mati kerana TV. Malah pada 1950-an apabila TV mula membuat impaknya, dalam setahun 250,000 judul buku baru terbit di dunia. Pada 2000, sejuta judul buku baru diterbitkan. Hari ini jumlah itu sudah pasti bertambah.

Ramai orang meramalkan teknologi komunikasi maklumat (ICT) akan membunuh buku. Memang kesan internet cukup luar biasa. Hari ini ada lebih 203 juta pengguna internet di AS dan 100 juta di China. Di seluruh dunia, pengguna internet akan mencecah setengah bilion manusia atau seorang bagi setiap 12 orang. Sasaran untuk menangani jurang digital oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ialah 25 pengguna internet bagi 100 penduduk. Kita hanya mencapai tujuh orang bagi setiap 100 orang masa kini.

Kesan internet tidak boleh dipandang ringan. Generasi muda tidak mengenal medium lain. Mereka menghabiskan banyak waktu melayari internet. Malah oleh kerana internet, sungai maklumat yang mengalir deras dan tanpa dasar, pelbagai bahan boleh diperoleh melaluinya tanpa perlu ke perpustakaan atau membuka buku. Internet menjadi sumber rujukan utama bagi 80 peratus pelajar di negara maju hari ini. Bukan itu saja, internet menjanjikan perpustakaan digital yang luar biasa kandungannya. Internet juga menjadi wahana pendemokrasian ilmu dengan cara yang cukup luar biasa. Bayangkan Wikipedia, iaitu ensiklopedia melalui talian pantas, percuma dan terbuka.

Apakah buku dalam bentuk tradisionalnya akan pupus? Apakah buku akan hilang pengaruhnya sebagai sumber ilmu? Sekiranya dilihat daripada kejayaan siri buku Harry Potter oleh penulis JK Rowling, buku nampaknya masih ada tempatnya di dunia. Sejak munculnya Harry Potter and the Philosopher's Stone pada 1997, sebanyak 365 juta buku dalam siri itu daripada enam judul terjual di seluruh dunia. Pada hari pertama buku ketujuh yang diberi nama Harry Potter and the Deathly Hallows dijual, pembeli merebut 10 juta naskhah buku itu. Buku itu membantu meningkatkan sehingga 25 peratus jualan buku kanak-kanak di UK dan AS.

Tetapi tidak semua penulis bernasib baik seperti Rowling. Tidak semua penerbit mempunyai penulis seperti itu. Setiap penerbit berharap satu daripada 100 judul yang diterbitkannya menjadi buku laris. Di negara ini, sebuah novel yang serius sekiranya dicetak 2,000 naskhah mengambil masa lima tahun untuk menghabiskan stoknya.

Memang terlalu awal untuk mengisytiharkan 'kematian' buku, tetapi ada petanda bahawa pilihan baru dalam talian akan menjadi cabaran hebat bagi buku. Secara jujurnya, ramai penerbit akhbar gelisah dengan saingan TV24, akhbar melalui talian dan pengaruh berita ringkas melalui SMS. Malah, hampir setiap akhbar arus perdana mempunyai versi taliannya. Dalam filem Minority Report, pelakon Tom Cruise hanya perlu menyentuh skrin untuk memilih bahan berita yang diperlukannya. Hari ini iLiad eReader memungkinkan hal itu. Akhbar boleh dibaca bukan saja dalam bentuk PDA tetapi melalui 'tablet' atau papan elektronik mudah alih.

Mengambil kira waktu membaca yang semakin kurang dan asakan teknologi yang semakin hebat, nasib buku dalam bentuk tradisionalnya kini tercabar. Malah, minat terhadap buku dalam bentuk asalnya menandakan sikap baru pengguna industri ilmu. Hal ini mungkin dikesan oleh penganjur Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) kebelakangan ini. Mereka mendapati lebih 90 peratus pengunjung ke pesta itu adalah orang Melayu. Siapapun yang mengikuti pesta atau pameran ICT akan sedar bahawa lebih 80 peratus pengunjungnya kaum Cina. Apakah ada peringatan tertentu dalam konteks ini? Bahawa orang Cina memula langkah ke hadapan menyesuaikan diri mereka dengan teknologi terbaru sedangkan orang Melayu masih berpegang pada tradisi menimba ilmu cara lama? Atau sememangnya orang Melayu liat menerima perubahan?

Dalam taklimatnya kepada media baru-baru ini, Pengerusi Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Datuk Noh Omar memohon perhatian media berbahasa Mandarin dan Tamil agar turut memberikan perhatian pada PBAKL yang bakal berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dari 4 hingga 13 April depan. Harapan itu nampaknya menggambarkan hasrat penganjur agar pesta kali ini mendapat perhatian kaum lain juga.

PBAKL sudah masuk tahun ke-27 tahun ini. Tidak dapat dinafikan ia menjadi sebahagian daripada kalendar kegiatan perbukuan rantau ini. Berdasarkan jumlah pengunjung, Noh memaklumkan bahawa pada 2007, 1.2 juta orang mengunjunginya. Sasaran tahun ini ialah 1.5 juta pengunjung. Seperti biasa PBAKL akan memuatkan acara ilmunya dalam bentuk Persidangan Antarabangsa Industri Buku 2008 (ICOBI) selama dua hari mulai 4 April.

Kita berharap pertembungan minda ilmuwan, pengarang, penerbit dan pencinta buku dalam persidangan itu akan membuahkan banyak hasil untuk menyemarakkan industri buku negara ini dan serantau.

Nampaknya MBKM dan semua yang terbabit dalam industri buku di negara ini harus berfikir di luar kotak. Industri buku berada di persimpangan. Usaha menyemarakkannya tidak harus dilakukan hanya dengan pesta buku, kempen membaca atau insentif kepada penerbit. Apa yang penting ialah memahami perubahan senario industri ilmu semasa serta tabiat baru pembaca. Hari ini orang masih membaca, cuma mediumnya berbeza. Suatu waktu dulu, pembaca akhbar menghabiskan purata 3 jam 14 minit sehari, hari ini jumlah itu tinggal 20 minit saja.

Generasi muda bukan tidak membaca tetapi mereka 'membaca' di layar komputer. Teknologi baru mengubah cara manusia berkomunikasi, berinteraksi malah berkerajaan. Dunia ilmu tidak terkecuali. Hari ini ada penerbit yang memanfaatkan teknologi terbaru untuk memberikan alternatif pada dunia buku. Novel SMS misalnya popular di Jepun masa ini.

Dunia bergerak pantas. Industri buku harus bergerak sederap dengan perubahan teknologi. Selalunya kelompok tradisionalis dalam industri buku leka dengan kegemilangan silam, enggan membuat anjakan dan selesa dengan kaedah yang sedia ada. Industri buku memerlukan pemikiran baru dan dilihat dari kanta baru. Moga-moga pesta buku kali ini akan menjadi titik tolak penting mengorak langkah pada era kegemilangan baru industri buku negara.

Jikalau tidak industri itu akan ditinggalkan zaman.

Datuk Johan Jaafar
Berita Minggu