Ahad, 17 Februari 2008

Permuafakatan pemimpin BN senjata hadapi pembangkang


BARISAN Nasional (BN) akan terus mengekalkan semangat muafakat yang menjadi titik tolak kekuatan perkongsian kuasa dengan mengekalkan nisbah pengagihan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-12, 8 Mac ini. Kesepakatan ditunjukkan pemimpin parti komponen sama ada besar atau kecil, daripada Umno yang mempunyai 117 kerusi Parlimen dengan 337 DUN, hingga kepada Parti Progresif Rakyat (PPP) yang masing-masing hanya satu kerusi Parlimen dan DUN, menggambarkan perkongsian kuasa lebih penting bagi memastikan kelangsungan pembangunan negara. Pada pilihan raya kali ini, persefahaman dan muafakat yang ditunjukkan pemimpin parti, mewakili pelbagai kaum dalam BN, sudah pasti memberi laluan sukar kepada barisan pembangkang yang dilihat mempunyai pakatan longgar. Berbeza dengan BN, pakatan rapuh pembangkang yang masih bertelagah mengenai ideologi dan fahaman, selain berasa partinya lebih kuat daripada yang lain, memberi kelebihan kepada parti memerintah untuk terus menjadi pilihan rakyat. Walaupun sebelum ini, ada ura-ura parti kecil dalam BN, cuba menagih supaya diberi kerusi lebih, hasil kompromi semua pemimpin, status quo yang dipersetujui pada Pilihan Raya Umum 2004, terus dikekalkan. Pengundi dapat melihat kemelut perebutan kerusi dan sikap tidak bertolak ansur pembangkang, yang lazimnya bersaing sesama sendiri pada pilihan raya lalu dan mungkin berlaku lagi kali ini.

Kelebihan BN ialah mampu memberi keadilan kepada semua parti komponen, sama ada di Sabah, Sarawak atau Semenanjung kerana pilihan raya adalah sebahagian daripada proses dalam melaksanakan program pembangunan negara yang dirancang untuk faedah semua rakyat. Ia bukan kaedah untuk menunjukkan siapa kuat dan siapa lemah atau parti besar menguasai parti kecil, sebaliknya semua pihak dalam parti komponen BN walaupun kecil, suaranya tetap didengar. Apa yang kita harapkan ialah parti komponen yang sebelum ini melahirkan hasrat mendapat tambahan kerusi tetapi tidak dapat dipenuhi, akan menerima hakikat itu. Apa yang pasti pengagihan itu dibuat seadil mungkin berdasarkan kekuatan parti dan semangat persefahaman untuk memenangi sesuatu kawasan. Memang benar sesetengah kerusi yang diagihkan kepada parti tertentu mempunyai taburan pengundi yang tidak jauh berbeza di antara kaum, tetapi kita mesti ingat kepada konsep perkongsian kuasa dalam BN. Kaum Melayu membantu kaum India dan Cina, begitu juga sebaliknya. Misalnya, ada kerusi ditandingi MIC memerlukan sokongan kuat pengundi Melayu seperti di Sungai Siput kerana pengundi Melayu ramai dan tolong menolong ini adalah amalan baik yang menjamin kesejahteraan kaum serta kestabilan politik.

Kita tidak mahu dalam tempoh terdekat ini, timbul suara pemimpin tertentu dalam BN, yang seolah-olah mempertikaikan keputusan sebulat suara dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN kelmarin. Semua pemimpin harus bersetuju mengekalkan status quo pembahagian kerusi. Walaupun suara berkenaan kecil, ia boleh dilihat pengundi dan rakyat mengenai sikap pemimpin yang tidak sepatutnya berada dalam komponen BN, kerana mereka perlu mematuhi persefahaman atas semangat setia kawan seperti ditetapkan. Cuma kali ini ada tiga kerusi Parlimen baru di Sarawak iaitu Sibuti, Igan dan Limbang. Ini juga diharap tidak menimbulkan masalah untuk diagihkan di antara parti komponen BN di negeri itu. Memang setiap parti mengidam kerusi baru, tetapi pada masa sama semua pihak dalam BN harus akur dan menerima hakikat selepas kata putus dibuat menjelang hari penamaan calon, 24 Februari ini. Jangan kerana pertikaian itu, calon BN kecundang di kerusi yang menjadi rebutan.

Berita Harian