Khamis, 14 Februari 2008

Britney Spears-Adnan Ghalib sudah berkahwin


LOS ANGELES - Penyanyi terkenal, Britney Spears didakwa sudah berkahwin dengan kekasihnya yang merupakan paparazzi, Adnan Ghalib dalam satu majlis cukup ringkas ketika melancong ke Mexico pada 9 Januari lalu, lapor sebuah majalah Amerika Syarikat (AS) semalam.
Satu sumber berkata, majlis itu berlangsung beberapa hari selepas Spears dikejarkan ke sebuah pusat perubatan setelah dia bertengkar dengan anggota-anggota polis di kediamannya.
Sumber berkenaan menyatakan Spears yang terkenal dengan lagu Toxic itu berkahwin secara rahsia.
Bagaimanapun, perkahwinan itu dilaporkan tidak sah di AS kerana Adnan masih tidak menceraikan isterinya, AzLynn Berry walaupun mereka tidak tinggal bersama.
Apabila pasangan itu pulang ke Los Angeles pengurus Spears, Sam Lutfi memberitahunya bahawa Adnan masih belum menceraikan isterinya, kata sumber itu.
Spears pada mulanya meninggalkan lelaki itu kerana terlalu marah tetapi tidak lama selepas itu dia memberikan Adnan wang sebanyak AS$250,000 (RM 808, 564) bagi mempercepatkan perceraiannya supaya mereka boleh berkahwin secara sah.
"Adnan berjanji kepada Spears bahawa mereka akan berkahwin sekali lagi apabila proses perceraiannya dengan AzLynn selesai," kata sumber berkenaan.
Menurut majalah itu, peguam Spears, Sorrel Trope berasa sangsi dengan berita perkahwinan mereka dan akhirnya dia memperoleh bukti berhubung isu itu pada 8 Februari lalu.
Sehari selepas itu, Trope meletakkan jawatan sebagai peguam Spears tanpa memberitahu punca dia bertindak demikian.
- Agensi