Rabu, 20 Februari 2008

Permuafakatan kepemimpinan demi kestabilan rakyat Pakistan


Asif Ali Zardari

KEMENANGAN besar parti prodemokrasi di Pakistan dalam pilihan raya Isnin lalu, memberi petanda bahawa rakyat di negara berkenaan inginkan perubahan dan kestabilan. Mereka sudah jelak hidup di negara yang sentiasa bergolak, tidak stabil dan tidak selamat. Keputusan pilihan raya itu memberi mandat kepada Parti Rakyat Pakistan (PPP) yang sebelum ini dipimpin Benazir Bhutto dan Parti Liga Muslim Pakistan-N (PML-N) pimpinan Perdana Menteri yang digulingkan, Nawaz Sharif. PPP mendapat 88 kerusi dan PML-N memperoleh 65 kerusi menjadikan jumlahnya 153 kerusi daripada 272 kerusi Parlimen iaitu lebih daripada separuh. Parti propresiden Pervez Musharraf, Liga Muslim Pakistan-Q (PML-Q) pula hanya mendapat 58 kerusi, manakala parti kecil lain mendapat selebihnya. Beberapa menteri dalam Kabinet Musharraf juga tewas di kawasan masing-masing, menandakan rakyat sudah tidak mahu lagi negara berkenaan ditadbir oleh kerajaan sekarang yang menguasai kerajaan menerusi rampasan kuasa. Pada pilihan raya 2002, PML-Q yang pro-Musharraf menang 130 kerusi dan tiga parti perikatan menang 53 kerusi.

Pilihan raya yang dijalankan dengan penuh semangat demokrasi pada 18 Februari lalu itu membuka satu lagi peluang kepada rakyat Pakistan untuk menikmati kehidupan baru. Peluang ini harus digunakan oleh parti yang menang sebaik mungkin untuk melaksanakan perubahan yang dikehendaki rakyatnya. Pakistan melalui tempoh pergolakan politik yang begitu kritikal sejak Musharraf merampas kuasa dan menggulingkan Nawaz pada 1999, manakala Benazir yang menghadapi pelbagai tuduhan rasuah mengambil keputusan untuk hidup dalam buangan pilihan sendiri di London. Namun, selepas beberapa tahun, Benazir kembali ke negara berkenaan pada September tahun lalu dalam usahanya memulihkan demokrasi di Pakistan dan akhirnya pada satu rapat umum parti, beliau terkorban dalam serangan bom pada 27 Disember lalu. Peristiwa itu mencetuskan huru-hara di Pakistan dan pilihan raya umum dijadual pada awal Januari tahun ini terpaksa ditunda sehingga 18 Februari lalu. Ramai yang terkorban dalam pergaduhan di antara penyokong parti politik dan puak masing-masing selepas kematian Benazir.

Kita berharap rundingan antara parti politik pimpinan suami Benazir, Asif Ali Zardari dan parti pimpinan Nawaz akan mencapai persefahaman bagi membentuk kerajaan campuran dengan disertai parti lain yang lebih kecil, bagi menamatkan pergolakan politik, sekali gus mengembalikan kestabilan di negara berkenaan. Kita juga berharap kerajaan baru nanti terus memainkan peranannya mengekang pergerakan kumpulan militan seperti al-Qaeda. Parlimen baru yang akan bersidang sudah tentu akan mengambil keputusan untuk mendesak Musharraf supaya turun daripada kedudukannya sebagai Presiden menerusi undi tidak percaya kerana tindak-tanduknya sebelum ini, termasuk menguatkuasakan perintah darurat, mencampuri urusan kehakiman, memenjarakan lawan politiknya serta menyekat kebebasan media. Namun, sebagai Presiden yang dipilih dalam Pilihan Raya Presiden tahun lalu, Musharraf masih berkuasa membubarkan Parlimen sekiranya beliau ingin melakukannya sebelum tindakan diambil terhadapnya. Jika ini berlaku krisis politik di Pakistan akan terus menghantui rakyatnya tanpa penyelesaian muktamad. Justeru, adalah wajar semua pihak sama ada pemimpin parti politik yang memenangi pilihan raya atau presidennya mengadakan permuafakatan demi kepentingan semua pihak. Keutamaan harus diberikan kepada rakyat Pakistan, antara negara Islam terbesar yang sudah lama dahagakan kestabilan politik.

Berita Harian