LONDON: Suri rumah wajar dibayar gaji kira-kira £30,000 (RM210,000) setahun jika tugasan mereka dianggap seperti pekerjaan lainnya, menurut satu tinjauan pendapat terbaru. Malah, lapor akhbar Daily Mail, purata gaji tahunan suri rumah itu jauh lebih tinggi berbanding gaji pekerja biasa di Britain yang memperoleh £23,700 (RM165,900).
Tinjauan membabitkan 4,000 wanita itu dianjurkan laman web alljoinon.com yang menjadi rangkaian bagi wanita yang tidak bekerja.
Ia mendakwa, tugas suri rumah sepenuh masa amat mencabar kerana secara purata mereka menjaga hal ehwal keperluan rumah tangga sekurang-kurangnya sembilan jam sehari. Malah, 71 peratus responden yang ditemui menyifatkan usaha menjaga dan menguruskan rumah tangga itu sebagai tugasan sepenuh masa.
“Hasil tinjauan itu jelas membuktikan bukan saja suri rumah layak mendapat gaji hasil usaha mereka, tetapi mereka juga perlukan masa untuk berehat daripada tugasan seharian itu,” kata jurucakap alljoinon.com, Carolyn Morris.
Menerusi kajian itu, suri rumah secara purata menghabiskan masa 273 minit sehari menjaga anak-anak. Jika dibandingkan dengan kadar bayaran sejam kira-kira £8 (RM56), seorang pembantu rumah memperoleh pendapatan £36.80 (RM257.60) sehari bagi tugasan sama. Itu tidak termasuk kira-kira 71 minit sehari yang digunakan bagi tujuan membersih dan mengemas rumah yang mana pencuci mendapat bayaran £7.10 (RM49.70) sehari.
Bagi memasak, bayaran untuk seorang tukang masak bagi sejam adalah £17.30 (RM121.10 sen).
Tugasan mengemas katil 14 minit adalah £1.29 sejam dan penolong pembantu rumah lazimnya memperoleh bayaran £2.57 bagi tugasan lazim suri rumah membasuh baju. Selain tugasan itu, suri rumah juga terpaksa menghabiskan masa kira-kira 39 minit untuk mengendalikan hal ehwal kewangan keluarga yang menyamai bayaran £12.50 sejam yang diterima akauntan.
Seorang pemandu teksi mendapat bayaran £2.53 bagi tempoh 23 minit yang dilakukan suri rumah memandu untuk menghantar atau mengambil anak-anak ke sekolah. Petugas bagi membeli belah pula dibayar £2.10 bagi tempoh 18 minit sehari - antara tugasan utama yang lazimnya dilakukan suri rumah.
Tinjauan itu menyusuli satu kajian lain tahun lalu yang menunjukkan wanita bekerjaya yang tinggal bersama suami yang juga bertugas sepenuh masa, lebih banyak menghabiskan masa membuat tugasan rumah berbanding ibu tunggal. Sementara itu, pakar ekonomi, Helene Couprie dari Universiti Toulouse merumuskan secara purata, wanita berkahwin melakukan tugasan rumah 15 jam seminggu - satu tempoh yang bertambah berbanding 10 jam dilakukan ibu tunggal.
Lelaki pula, lebih kurang melakukan tugasan rumah sebaik berumah tangga.
- Agensi