LANGKAH Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menaikkan syarat perbezaan undi bagi membolehkan pengiraan semula untuk diguna pakai pada pilihan raya kali ini daripada dua kepada empat peratus amat dialu-alukan. Pertama ia menjimatkan masa dan keduanya, ia boleh mengelak kekecohan di tempat penjumlahan undi selain menjamin ketelusan serta memuaskan hati calon yang bertanding. Perbezaan dua peratus yang diamalkan selama ini terlalu kecil sehingga wujud perbezaan dua undi yang kadang-kala bukan saja menjadi penentu kemenangan calon, malah pembentukan kerajaan. Contoh klasik ialah pertandingan merebut tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Machang pada Pilihan Raya Umum 2004 yang dianggap sebagai ‘sudden death’ bagi Barisan Nasional (BN) dan Pas kerana keputusannya menentukan pembentukan kerajaan negeri. Selepas semua 93 peti undi di tiga DUN terbabit terpaksa dikira semula, calon Pas di DUN Kemuning menewaskan calon BN dengan kelebihan cuma dua undi. Pas berjaya membentuk kerajaan dengan majoriti mudah. Beberapa pengalaman pahit ketika pilihan raya umum lalu, mungkin membuatkan SPR melakukan perubahan kali ini.
Memang banyak proses pengiraan undi sebelum ini menimbulkan rasa tidak puas hati calon sehingga berlaku kekecohan dan petisyen di mahkamah. Kita berharap langkah baru SPR itu dapat mengurangkan kekecohan di pusat penjumlahan undi pada pilihan raya umum kali ini. Peraturan kecil 5B dalam Peraturan 25D berikutan pindaan Peraturan 25 (13), akan membolehkan pengiraan semula undi di pusat penjumlahan rasmi undi dimansuhkan. Ini bermakna sebarang proses pengiraan semula hanya boleh dilakukan di tempat mengundi. Pada Pilihan Raya Umum 2004, menyaksikan SPR menerima sejumlah 46 petisyen berhubung keputusan pilihan raya termasuk ketika proses pengiraan semula undi. Di sesetengah pusat penjumlahan undi, kekecohan hampir tercetus bukan saja membabitkan calon yang bertanding malah penyokong mereka, gara-gara proses pengiraan semula terpaksa diadakan berkali-kali, malah ada tertangguh sehingga keesokan harinya. Bukan itu saja, peti undi terpaksa dikawal ketat setiap masa dan pernah kedengaran suara sumbang sebelum ini kononnya peti undi itu ditukar. Semuanya menuding jari kepada SPR.
Apabila keputusan pilihan raya dipertikai, pihak tidak berpuas hati membuat petisyen bagi mendengar kes mereka di Mahkamah Pilihan Raya. Umpamanya, kes membabitkan keputusan pilihan raya Parlimen Permatang Pauh yang didengar mahkamah, adalah satu lagi contoh yang menyaksikan beberapa kali pengiraan semula undi. Kita berpendapat pelaksanaan peraturan baru ini, dapat menghindarkan ketegangan di kalangan calon dan penyokong mereka di pusat penjumlahan undi yang biasanya dihadiri ribuan penyokong. Mulai pilihan raya kali ini, pegawai pilihan raya akan membuat pengiraan semula sekiranya terdapat perbezaan kecil keputusan undi iaitu empat peratus di tempat mengira undi di sesuatu kawasan Parlimen atau DUN, sebaik saja proses pengundian berakhir biasanya pada jam 5 petang atau 3 petang. Tempat mengira undi sama ada dewan orang ramai atau sekolah biasanya menampung tidak banyak saluran mengundi, iaitu kurang 4,000 pengundi. Ini memudahkan kerja pengiraan semula sekiranya berlaku perbezaan kecil jumlah undi diperoleh calon. Kita juga berharap kaedah baru ini membolehkan banyak keputusan pilihan raya diketahui lebih awal kerana pusat penjumlahan undi hanya mengira semua undi yang disahkan selepas melepasi syarat peratus yang ditetapkan.
Berita Harian