Khamis, 14 Februari 2008

Tempoh panjang berkempen wajar diguna secara rasional

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) sudah menetapkan hari penamaan calon dan pembuangan undi, masing-masing pada 24 Februari dan 8 Mac ini. Ini bermakna 13 hari diperuntukkan untuk parti politik berkempen, tempoh terpanjang dalam masa 22 tahun. Tempoh kempen berbelas-belas hari sebelum ini hanya berlaku pada Pilihan Raya Umum 1974 (16 hari), 1978 (17 hari), 1982 (15 hari) dan kemudian dikurangkan kepada 10 hari untuk tiga pilihan raya umum berikutnya iaitu pada 1986, 1990 dan 1995. Ia dikurangkan kepada sembilan hari pada 1999 dan lapan hari pada pilihan raya umum lalu. Disebabkan itulah, ramai pihak menjangka kempen kali ini akan lebih pendek iaitu tujuh hari, jika pun tidak lapan hari. Bagaimanapun, ramalan itu meleset sama sekali apabila SPR membuat ketetapan memanjangkan tempoh sehingga 13 hari untuk memberi keadilan kepada semua parti politik yang bertanding. Kita berharap pembangkang tidak lagi mengadu tidak diberi cukup masa untuk berkempen, walaupun sesetengahnya seperti Pas, sudah menggerakkan kempen sejak selepas pilihan raya umum lalu. Setiap parti sama ada BN atau pembangkang akan menikmati kelebihan tempoh kempen itu yang seharusnya digunakan sebaik mungkin.

Kita berharap selepas diberi masa yang adil untuk semua, parti politik yang bertanding akan menggunakannya secara bijak untuk meyakinkan pengundi di kawasan masing-masing. Gunalah pentas ceramah secara rasional, bukan untuk menimbulkan isu sensitif yang boleh mengundang kontroversi. Jika perkara ini boleh dihindari, maka perjalanan proses pilihan raya akan berjalan lancar. Tempoh kempen yang panjang menimbulkan kebimbangan mengenai kemungkinan berlaku perkara tidak diingini. SPR tentu sudah mengambil kira isu keselamatan dan ketenteraman awam ketika menetapkan tarikh pengundian pada hari pertama cuti sekolah itu. Kita tidak boleh bandingkan tempoh kempen 42 hari pada pilihan raya umum pertama 1955 dengan tempoh kempen 15 hari pada 1982, kerana keadaan ketika itu berbeza dengan masalah pengangkutan dan komunikasi. Era sekarang sudah berubah kepada digital dan khidmat pesanan ringkas (SMS), yang juga boleh digunakan untuk berkempen. Sekali klik, SMS boleh sampai kepada puluhan atau ratusan pemilih. Bagaimanapun, kemudahan ini juga boleh disalah gunakan untuk menyebarkan fitnah, khabar angin berbau perkauman dan sebagainya oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Pilihan Raya Umum 1969 misalnya mempunyai 35 hari berkempen dan tempoh panjang itu dikatakan salah satu faktor tercetusnya pergaduhan kaum. Kita tentu tidak mahu peristiwa seperti itu berulang. Oleh itu, semua pihak sama ada parti pemerintah, pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), jangan sama sekali menimbulkan isu yang boleh memercikkan semangat perkauman yang melampau. Menangilah pilihan raya secara bermaruah, bukan atas pengorbanan kaum. Pengundi pula perlu bijak memilih secara rasional dan bukan terpengaruh dengan ceramah atau ungkapan berunsur kaum. Ahli politik perlu mengelak daripada menyentuh isu sensitif semata-mata mahu dilihat sebagai juara kaum atau kumpulan tertentu. Calon yang popular bukan kerana isu yang dibawanya, tetapi perjuangan dan khidmat bakti bukan saja ketika mencapai kemenangan, malah selepas menjadi wakil rakyat. Oleh itu, semua pihak harus memberi kerjasama, terutama kepada pasukan keselamatan dan patuhi segala arahan sepanjang tempoh kempen 13 hari itu nanti.

Berita Harian