KERAJAAN Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sekali lagi menyerahkan kepada rakyat bagi mendapat mandat baru apabila mengumumkan pembubaran Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN), kecuali DUN Sarawak, semalam iaitu 15 bulan lebih awal daripada tarikh tamat tempoh kerajaan pimpinannya sekarang. Ini adalah pilihan raya umum kali kedua bagi Abdullah selaku Perdana Menteri selepas memenanginya dengan cemerlang pada Pilihan Raya Umum 2004. Pilihan raya adalah masa terbaik bagi rakyat untuk membuat penilaian secara rasional, bukan emosional parti mana yang menjadi pilihan mereka. Sejak pilihan raya pertama sebelum merdeka, BN yang dulunya dikenali sebagai Perikatan tidak pernah gagal dalam pilihan raya untuk terus berkuasa kecuali ketika berlaku rusuhan kaum pada 1969. Walaupun ada pihak cuba meniru gaya BN, termasuk menggunakan nama yang hampir serupa seperti Barisan Alternatif, dengan menggabungkan beberapa parti pembangkang, BN terus memikat hati pengundi kerana terbukti keberkesanannya memperjuangkan nasib rakyat pelbagai kaum. BN yang kini dianggotai 14 parti komponen, mewakili semua kaum dan tiada satu kaum pun terpinggir atau dipinggirkan dalam arus pembangunan meskipun ada pihak tertentu mendakwa sebaliknya.
Sudah tentu ketika kempen dalam pilihan raya kali ini, isu kaum dan agama akan terus kedengaran. Namun kita berharap mereka yang terbabit mengelak daripada membangkitkan isu yang boleh mencetuskan pergaduhan kaum. Meskipun berkempen dibenarkan dalam sistem demokrasi, ia juga mempunyai had tertentu supaya tidak mengapikan perasaan perkauman yang melampau. Dengan pengumuman pembubaran Parlimen semalam, keghairahan untuk berkempen di kalangan parti politik sudah tentu semakin melonjak. Hari ini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bermesyuarat untuk menentukan tarikh penamaan calon dan pembuangan undi. Kita percaya tempoh kempen kali ini akan lebih pendek. Pada pilihan raya umum lalu, tempoh berkempen cuma lapan hari iaitu tempoh terpendek pernah dicatatkan negara. Tempoh terpendek pernah dicatatkan sebelum ini ialah sembilan hari iaitu pada 1999 dan 1986. Kita berharap pihak pembangkang tidak membangkitkan tempoh kempen yang pendek ini kerana jika diperhati, mereka sebenarnya sudah mula berkempen sejak selepas pilihan raya umum lalu. Malah saban minggu sejak kebelakangan ini, akan ada ceramah di merata tempat oleh parti pembangkang. Ini bermakna, mereka sudah lebih awal menggerakkan kempen termasuk 'memperkenalkan' calon.
Kita juga berharap pilihan raya umum ini berjalan dengan lancar tanpa sebarang gangguan. Polis tidak harus teragak-agak untuk menguatkuasakan undang-undang bagi menjamin keselesaan, kesejahteraan dan ketenteraman rakyat sepanjang tempoh pilihan raya umum ini. Kita mahu pilihan raya bukan saja diadakan dalam suasana muhibah, malah rakyat berasa senang, selesa dan bebas ketika membuat pemilihan tanpa sebarang unsur ugutan. Apa yang berlaku di sesetengah negara yang bermandi darah setiap kali pilihan raya diadakan, haruslah dijadikan iktibar dan pengajaran supaya insiden serupa tidak berlaku di negara kita. Semua pihak perlu patuh kepada undang-undang. BN dan beberapa parti pembangkang seperti Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP akan menyerahkan nasib mereka sekali lagi di tangan kira-kira 10.9 juta pemilih berdaftar, termasuk kira-kira 700,000 pengundi baru, yang layak mengundi pada pilihan raya umum kali ini. Kerana itu, mulai hari ini sehinggalah pada hari mengundi nanti, gelagat dan tindak tanduk pemimpin mereka akan diperhati rakyat yang kini semakin matang untuk membuat pilihan.
Berita Harian