Selasa, 12 Februari 2008

Shetty lakon filem Bond


LONDON - Selepas popular di Britain menerusi program realiti televisyen, Celebrity Big Brother, pelakon Bollywood, Shilpa Shetty akan berlakon dalam filem James Bond yang terbaru, lapor sebuah akhbar semalam.

Shetty dilaporkan sudah menandatangani satu kontrak dengan penerbit filem berkenaan tetapi peranan pelakon itu dalam filem Bond terbaru, Quantum of Solace masih belum diputuskan lagi.

Pada Ogos tahun lalu, pelakon berumur 32 tahun itu disebut-sebut akan menjadi calon utama sebagai gadis Bond.

Setakat ini, peranan Shetty masih belum diketahui tetapi dia dipercayai akan membawa satu watak kecil.

Pelakon itu mungkin tampil seperti Madonna dalam filem Bond, Die Another Day atau Christina Cole yang membawa watak penyambut tetamu Ocean Club dalam Casino Royale.

Dalam filem terbaru itu, aktor Daniel Craig berlakon sebagai Bond selain Gemma Arterton sebagai seorang ejen perisikan MI6 serta seorang bekas model, Olga Kurylenko.

Filem yang bakal ditayangkan pada November ini sedang menjalani penggambaran di beberapa buah negara termasuk di Panama dan Itali.

- Agensi