Khamis, 21 Februari 2008

Tentera Amerika tembak satelit pengintip rosak


Peluru berpandu Jabatan Pertahanan dilancar dari perairan Pasifik

HONOLULU: Sebuah kapal tentera laut Amerika Syarikat berjaya menembak jatuh satelit pengintipannya di angkasa lepas yang sudah rosak, dengan satu tembakan peluru berpandu dari perairan Pasifik, semalam. Jabatan Pertahanan Amerika menyatakan rangkaian radar dan satelit yang disambungkan dengan sistem pertahanan peluru berpandu berkenaan, mengesahkan kejayaan pintasan itu yang berlaku pada kira-kira jam 10.26 pagi waktu tempatan.

"Serpihan satelit itu diramal memasuki terus ruang udara Bumi kerana kedudukannya yang rendah dan berhampiran Bumi ketika ditembak dan akan terbakar dua hari kemudian," kata Pentagon.

Bagaimanapun, tempoh kemasukan serpihan itu mungkin memakan masa sehingga 40 hari. Tiada sebarang reaksi China berhubung misi berkenaan selepas ia menjadi sasaran kecaman kerana menembak jatuh satu satelit cuacanya pada 11 Januari, tahun lalu.

Setiausaha Pertahanan, Robert Gates dimaklumkan mengenainya ketika dihubungi pegawai kanan tentera.

"Kita berjaya melaksanakan misi untuk menembak jatuh satelit lama itu," kata Setiausaha Akhbar Pentagon, Geoff Morrell.

Pegawai kanan Pentagon turut mengesahkan peluru berpandu itu menembak tangki satelit mengandungi bahan kimia hidrazin yang boleh mengancam manusia jika dibiarkan memasuki ruang udara Bumi.

"Semua petunjuk yang ada menunjukkan kejayaan misi dan peluru berpandu itu dapat memusnahkan tangki berkenaan. Kita perlukan masa bagi mengesahkan kemusnahan sebenar satelit itu," katanya.

Gates memberi lampu hijau kepada jeneral melancarkan peluru berpandu itu beberapa jam lebih awal sebelum beliau melakukan penerbangan dari Washington ke Honolulu - pangkalan tiga kapal dilengkapi sistem pertahanan peluru berpandu Aegis yang terbabit dalam misi berkenaan.

- AFP