SETIAP kali menjelang hari penamaan calon pilihan raya, penyandang kerusi baik Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) dihantui debaran, memikirkan diri sama ada terpilih atau sebaliknya. Jika sekali lagi terpilih, mereka lega, manakala penyokong di belakang bertepuk kegembiraan. Sebaliknya, jika tidak terpilih, bukan saja terkejut, hati terluka, malah pengikut turut mengancam untuk memboikot pilihan raya. Inilah senario yang kita biasa saksikan sejak sekian lama, setiap kali berhadapan pilihan raya terutama dari kalangan parti komponen Barisan Nasional (BN). Ugutan penyokong dan tindakan untuk menutup markas pilihan raya menjadi sebahagian tindakan spontan kerana orang yang disokong tidak terpilih. Bagaimanapun, keadaan kembali reda apabila mereka menyedari bahawa pemimpin datang dan pergi sedangkan perjuangan parti perlu diteruskan.
Itulah hakikatnya yang berlaku dan episod duka turut dilihat semula kelmarin, terutama di kem Umno Terengganu atau majlis pengumuman calon MIC yang memperlihatkan ramai penyandang veteran digugurkan dan muka baru dilantik. Seramai 12 wakil rakyat Umno Terengganu digugurkan, manakala MIC turut bertindak drastik dengan menggugurkan 14 wakil rakyat dan melantik muka baru bagi pilihan raya umum kali ini. Senarai calon gugur dan pelantikan muka baru akan berterusan mewarnai senario politik negara sehingga Ahad ini. Menjadi hak pucuk pimpinan parti untuk menggugur dan melantik calon baru bagi memastikan kemenangan, sekali gus memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat. Malah, pertimbangan selayaknya dilakukan termasuk semua senarai calon BN perlu melalui tapisan Badan Pencegah Rasuah (BPR), sebelum mereka layak terpilih sebagai calon.
Penyandang yang tidak terpilih tidak seharusnya marahkan pucuk pimpinan. Mereka juga tidak perlu bersedih atau meminta penyokong bertindak membelakangi undang-undang dan parti, kerana sejak awal menyertai politik, mereka seharusnya sedar tempat mereka harus digantikan apabila tiba waktunya seperti ketika mereka mengambil tempat penyandang terdahulu. Anehnya, sebahagian ahli politik di negara ini merasakan mereka masih boleh memberi perkhidmatan, sedangkan rakyat berpendapat sebaliknya. Mungkin bagi mereka, kerusi wakil rakyat atau jawatan politik yang disandang perlu disandang sampai mati. Sepatutnya, kalau perkhidmatan sudah cukup, prestasi mulai merosot, sokongan pada peringkat akar umbi menurun, lepaslah kerusi dan jawatan dengan ikhlas. Berundurlah secara terhormat ketika masih disayangi rakyat.
Jangan menyusahkan pucuk pimpinan untuk mempunyai barisan kepemimpinan lebih muda dan bertenaga kerana pilihan raya hanya diadakan lima tahun sekali. Janganlah anggap kerusi wakil rakyat sebagai hak persendirian, berilah peluang kepada mereka yang selama ini bertungkus-lumus memperjuangkan parti, menabur bakti untuk menjadi wakil rakyat pula. Dalam hubungan ini, kita memuji sebahagian wakil rakyat dari MCA yang mengeluarkan kenyataan lebih awal untuk mengundur diri bagi memberi peluang kepada muka baru. Inilah yang patut dicontohi bagi memudahkan pucuk pimpinan parti membuat persediaan awal bagi memilih barisan pengganti. Bagi pemimpin yang tidak dipilih semula, mereka perlu ingat ketika mula dicalonkan dulu, perasaan penyandang sebelumnya mungkin terguris kerana terpaksa melepaskan kerusi, namun lama kelamaan akan reda, sebaliknya kekuatan dan kebanggaan parti perlu dipertahankan. Bagi yang digugurkan, sama ada terkejut atau menjangka keputusan pucuk pimpinan, rapatkan semula barisan penyokong bagi membantu parti menghadapi pilihan raya dan seterusnya memastikan kemenangan lebih besar.
Berita Harian