Masjid Kristal
SESIAPA saja yang melawat Terengganu kini boleh menyaksikan sendiri perubahan di negeri itu sejak Barisan Nasional (BN) mengambil alih semula pemerintahan negeri itu daripada Pas. Terengganu kini tidak lagi dikaitkan dengan songket, batik dan keropok lekor semata-mata tetapi lebih dikenali sebagai pusat ilmu terutama pendidikan dan ketamadunan Islam. Malah, Terengganu adalah negeri yang paling ke depan dalam memajukan konsep Islam Hadhari khususnya dalam pendidikan. Matlamat kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Idris Jusoh ialah melahirkan generasi baru Ulul Albab yang mempunyai pendidikan seimbang melalui pengasahan kemahiran berfikir, membaca cepat, teknik mengingat, kreativiti dan kepemimpinan.
Malam tadi, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi merasmikan pula satu lagi mercu tanda di negeri Pantai Timur itu dengan pelancaran Taman Tamadun Islam (TTI) di Pulau Wan Man, Kuala Terengganu. TTI yang dibina dengan peruntukan RM250 juta di tapak sebuah pulau seluas 23 hektar mengandungi 21 monumen Islam terunggul, yang buat julung kalinya dibuka secara rasmi kepada orang ramai sempena Perkampungan Hadhari. Kita tidak perlu pergi ke Agra, India untuk melihat keindahan seni bina Taj Mahal yang dibina Maharaja Monghul, Shah Jahan atau ke Istanbul, Turki bagi melihat keunikan Masjid Sulaiman. Semuanya ada TTI. Taman itu juga mempunyai sebuah Masjid Kristal terapung selain monumen Islam terkenal dari seluruh dunia, termasuk Al-Hambra (Sepanyol), Masjid Kubah Al Sakhra, Baitulmaqdis (Palestin) dan Menara Kaylan (Uzbekistan).
Walaupun di awal pembinaan projek itu, ada suara sumbang terutama daripada parti pembangkang, kononnya ia adalah pembaziran, hakikatnya TTI adalah pelaburan strategik yang manfaatnya bukan semata-mata untuk tarikan pelancongan tetapi sebagai suntikan baru kepada generasi muda Islam. Dari segi pelancongan, tiada siapa termasuk pembangkang sendiri yang menafikan TTI nanti adalah produk tarikan baru bukan saja untuk Terengganu tetapi Malaysia secara keseluruhan. Bagaimanapun, lebih penting lagi TTI dapat mengimbau semula era kegemilangan tamadun Islam yang melahirkan teknologi dan seni bina agung sehingga menjadi ikutan Barat. Bagaimanapun kewujudan TTI bukan sekadar untuk nostalgia mengenang kejayaan silam tetapi turut disusuli pengisian kepada generasi muda supaya mengembalikan semula kegemilangan itu. Langkah memperkenalkan generasi Ulul Albab adalah satu daripada usaha itu.
Kesungguhan kerajaan Terengganu mengembangkan syiar Islam kini menarik minat rakyat negeri itu termasuk di kalangan pengikut Pas selama ini. Tanpa mendabik dada atau membuat tuduhan kepada pembangkang, kerajaan negeri sejak empat tahun lalu melaksanakan apa yang dijanjikan kepada rakyat Terengganu pada pilihan raya umum 2004 dengan perhatian khusus kepada bidang pendidikan bermula dari tadika. Langkah itu penting kerana pembentukan peribadi Islam bermula peringkat kanak-kanak dan hari ini, sebahagian besar kanak-kanak di Terengganu yang berusia lima dan enam tahun sudah khatam al-Quran. Murid berusia tiga dan empat tahun di Taska Hadhari Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu boleh menghafaz mukaddam yang mempunyai 23 surah. Pada masa yang sama, kemahiran menguasai bahasa Inggeris dan teknologi maklumat turut diberi penekanan khusus. Usaha seperti ini menuntut perancangan secara tersusun dan hanya boleh dilaksanakan oleh kerajaan dan pemimpin berpandangan jauh, bukan golongan yang hanya tahu bercakap dan menabur janji. Terengganu sedang membentuk generasi yang mampu bersaing pada peringkat global, sekali gus mengembalikan maruah ummah.
Berita Harian