JAKARTA, 21 Februari- Kira-kira 200 penduduk Indonesia berkumpul di depan Kedutaan Denmark semalam untuk membantah penyiaran semula kartun yang menghina Nabi Muhammad SAW dalam akhbar di negara berkenaan. Kumpulan berkenaan turut berhenti di luar kedutaan Belanda untuk membantah penayangan filem kontroversi mengenai al-Quran, oleh ahli Parlimen berhaluan kanan negara itu.
“Di sebalik topeng kebebasan bersuara, mereka sebenarnya mahu menghina Islam. “Malah, penerbitan itu menunjukkan kesombongan dan rasa tidak hormat kepada kepercayaan orang lain,” kata salah seorang penunjuk perasaan, Shodiq Ramadhan, mengenai akhbar Denmark.
Kartun terbabit, yang dicetak semula dalam 17 akhbar Denmark minggu lalu, memaparkan lakaran seseorang yang dikatakan watak Nabi Muhammad yang memakai serban berbentuk bom. Ia adalah antara salah satu daripada 12 kartun yang mencetuskan bantahan di negara Islam apabila ia mula diterbitkan pada 2006, termasuk Indonesia.
Akhbar berkenaan berkata ia mencetak semula sebagai menyokong kebebasan bersuara selepas tiga lelaki ditahan baru-baru ini kerana didakwa merancang membunuh kartunis terbabit.
Sementara itu, ahli politik Belanda, Geert Wilders, menghasilkan filem sepanjang 10 minit yang memaparkan al-Quran sebagai ‘buku fasis’ yang menghasut keganasan dan penindasan ke atas wanita serta golongan homoseksual. Katanya, ia akan selesai Februari ini dan ditunjukkan di televisyen Belanda serta di internet Mac ini.
Dipetik dari laman web www.yadim.com.my