
Geert Wilders
AMSTERDAM: Kerajaan Belanda mempertimbangkan cadangan menghalang seorang ahli politik negara itu daripada menyiarkan filem anti Al-Quran, kerana bimbang serangan dilancarkan ke atas rakyat dan perniagaannya. Peguam kerajaan meneliti sama ada terdapat asas perundangan untuk mengharamkan filem dihasilkan oleh ahli perundangan antipendatang, Geert Wilders, yang mengaitkan kitab suci itu dengan buku nazi, Mein Kampf, menurut laporan Telegraaf.
Akhbar berkenaan menyebut, kerajaan campuran berbalah mengenai filem itu dengan Kristian Demokrat mahu ia diharamkan manakala Parti Buruh menyokong kebebasan bersuara dan menggesa negara Islam menghalang keganasan terhadap kepentingan dan rakyat negara itu.
Kira-kira 1,000 penduduk Afghanistan mengadakan bantahan kelmarin menentang penerbitan semula kartun menghina Nabi Muhammad dalam akhbar Denmark dan rancangan Wilders menayangkan filem itu. Penunjuk perasaan, kebanyakannya ulama di bandar raya Mazar-i-Sharif, berarak dan mendesak pengunduran tentera Denmark dan Belanda dari Afghanistan.
Perdana Menteri Belanda, Jan Peter Balkenende, memberi amaran Belanda berdepan risiko sekatan ekonomi dan serangan ke atas tentera kerana filem itu, walaupun tidak menyebut ia tidak sepatutnya ditayangkan.
- Reuters