
KAMARIAH (tengah) semasa memasuki Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu semalam.
KUALA TERENGGANU - Pengikut Ayah Pin, Kamariah Ali, 57, yang didapati bersalah kerana mengaku keluar Islam pada 2005 dijatuhkan hukuman penjara selama dua tahun oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam.
Hukuman yang berkuat kuasa serta-merta itu dijatuhkan Ketua Hakim Syarie, Mohamad Abdullah yang masih tidak yakin bahawa tertuduh sudah insaf.
"Saya masih ragu-ragu, pengakuan dibuatnya seolah-olah saya sendiri menyuruhnya," katanya merujuk pada pengakuan Kamariah yang sudah insaf pada perbicaraan kes tersebut sebelum ini.
Menurutnya, ucapan salam yang diberikannya ketika hendak memulakan perbicaraan juga seolah-olah tidak dijawab oleh Kamariah kerana tiada gerak bibir atau lidah yang menunjukkan tertuduh menjawab salam itu.
Katanya, ketika itu beliau memberi tumpuan kepada tertuduh, namun tindakan tertuduh membuatkannya ragu-ragu bahawa tertuduh sudah benar-benar insaf.
Kamariah didakwa mengikut Seksyen 7 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 yang boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-dua sekali.
Bekas ustazah lulusan Universiti Al-Azhar itu dituduh membuat kenyataan keluar Islam di hadapan Hakim Wan Abdul Malik Sidek pada 21 Julai 2005 di bilik bicara Mahkamah Rendah Syariah Besut di sini.
Ketika membacakan keputusan tersebut, Mohamad memberitahu, beliau membuat keputusan tersebut selepas menolak alasan tertuduh keluar daripada Islam akibat terpengaruh dengan rakan karib beliau yang membuat pengakuan sama.
Menurut Mohamad, alasan tersebut tidak boleh diterima kerana Kamariah merupakan seorang yang mempunyai ilmu agama yang tinggi dan dilahirkan serta dibesarkan di dalam keluarga Islam.
Dalam pada itu, Hakim turut menolak rayuan pembelaan yang menyatakan Kamariah tidak pernah melakukan sebarang kesalahan jenayah sama ada melibatkan Syariah ataupun Sivil.
Ini kerana, katanya, Kamariah pernah dikenakan hukuman oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu pada tahun 1992 kerana kesalahan yang sama iaitu mengaku keluar Islam.
Sementara itu, mahkamah menetapkan 6 Mac ini untuk mendengar rayuan bagi menangguhkan hukuman tersebut.
Kosmo!