Isnin, 24 Mac 2008

Beras sasaran pencuri


Petani Thailand risau hasil tuaian dicuri kerana harga melambung

BANGKOK: Petani Thailand dilaporkan meningkatkan kawalan terhadap kawasan sawah masing-masing termasuk bertindak menyembunyikan hasil tuaian selepas satu kejadian mencuri di jelapang padi minggu lalu menyemarakkan khabar angin bahawa ia disebabkan kenaikan harga beras. Laporan meluas mengenai kes mencuri tuaian padi, walaupun polis belum membuat kenyataan, merebak dengan pantas selepas 10 kilogram beras wangi berkualiti tinggi dicuri dari jelapang padi milik seorang pesawah di wilayah Kalasin, kira-kira 500 kilometer ke timur laut Bangkok.

"Penduduk kampung sudah bertindak menubuhkan pasukan sukarelawan dan melakukan rondaan," kata pegawai daerah di Kalasin, Urit Poo-aob.

Kawasan di timur laut ialah wilayah pengeluar utama beras wangi gred tinggi di Thailand, negara pengeksport beras terbesar dunia. Harga beras di Thailand meningkat sejak tahun lalu apabila India mengharamkan eksport beras bukan dari jenis basmati untuk memastikan ia mencukupi untuk rakyatnya sendiri.

Vietnam, pengeksport beras nombor dua, pula bertindak menggantung eksport pada Mac dan April dalam usaha memenuhi kontrak dengan Filipina.

Akibatnya, harga beras wangi Thailand melonjak sehingga 30 peratus kepada hampir AS$900 (RM2,880) setiap satu tan. Beras putih gred B 100 peratus keluaran Thailand juga melonjak 30 peratus dan harganya mencapai AS$600 (RM1,920) satu tan.

Berikutan perkembangan ini, khabar angin semakin tersebar bahawa pencuri beras mensasarkan sawah yang tidak dikawal selepas tengah malam kerana itu adalah waktu paling mudah mencuri. Malah, ada sebahagian petani di wilayah penanaman beras putih Sing Buri tidur di sawah masing-masing selepas khabar angin merebak mengenai kecurian 1,000 kilogram beras. Bagaimanapun, polis belum menerima aduan rasmi.

"Terdapat banyak khabar angin tetapi tiada siapa tampil membuat aduan mereka dirompak," kata pegawai di daerah Ang Thong.

Pada masa sama, khabar angin yang bertiup kencang itu turut mendorong ramai pesawah menuai tanaman mereka secepat mungkin.

"Kebanyakan beras di daerah Suphan Buri sudah dituai. Ia sekitar 10 hingga 20 hari lebih awal dari tempoh tuaian biasa," kata pegawai pertanian dari kebanyakan wilayah pengeluar beras putih terletak kira-kira 100 kilometer ke utara Bangkok.

Thailand dijangka mengeluarkan kira-kira enam juta tan padi dalam tuaian kedua lebih kecil yang selalunya dilakukan pada bulan April.

- Reuters