Isnin, 24 Mac 2008

Keluarga rayu Jepun tangkap pembunuh


Lindsay Walker


Tatsuya Ichihashi

TOKYO: Satu pasangan suami isteri dari Britain menggesa penduduk Jepun membantu usaha memburu suspek pembunuhan anak mereka di negara Matahari Terbit itu tahun lalu.

"Tolong cari lelaki ini. Bantu kami buru lelaki ini," kata William Hawker yang kehilangan anak perempuannya, Lindsay, 22, seorang guru bahasa Inggeris, dalam sidang akhbar di sini, semalam.

Mayat Lindsay ditemui dalam tab mandi yang dipenuhi pasir di sebuah pangsapuri dekat ibu negara ini pada Mac 2007, kes yang mencetuskan ketakutan penduduk Jepun.

Pada sidang media itu, William dan isterinya, Julia, serta seorang lagi anak mereka, Lisa, menunjukkan poster suspek pembunuhan Lindsay. Polis Jepun melancarkan operasi di seluruh negara memburu Tatsuya Ichihashi yang berjaya lari sebelum anggota keselamatan tiba di pangsapuri itu bagi menyoalnya mengenai Lindsay.

"Mesti ada orang menyembunyikan Ichihashi. Bagaimana dia boleh terlepas? Masyarakat di Jepun berfikiran moden," kata William.

Awal bulan ini, polis mengeluarkan poster baru Ichihashi, menunjukkan kemungkinan penampilannya jika menyamar wanita atau mewarnakan rambutnya. Keluarga Hawker berkata, mereka akan menghabiskan dua hari di Jepun bagi meningkatkan kesedaran penduduk tempatan mengenai kes Lindsay.

William berkata, keluarganya tidak datang untuk mengkritik polis tetapi menyuarakan rasa sedih dan kecewa atas kejadian suspek dapat melarikan diri.

Kes pembunuhan Lindsay mendapat tumpuan antarabangsa kerana ada persamaan dengan pembunuhan wanita Britain, Lucie Blackman, pada 2001.

- Reuters/Agensi