
Montealtosuchus Arrudacamposi
'Buaya darat' pernah wujud pada zaman lampau. Hal ini terbukti melalui penemuan fosil seekor reptilia yang didakwa sebagai buaya yang hidup di darat. Buaya jenis ini dianggap sebagai 'spesies penghubung yang hilang' antara buaya purba dengan buaya moden.
Buaya spesies ini dikenali sebagai Montealtosuchus Arrudacamposi yang sangat tangkas dan hidup di kawasan gersang di Brazil semasa Zaman Batu Kapur. Menurut Felipe Mesquita de Vasconcellos, ahli paleontologi Brazil, fosil reptilia pemangsa berusia 80 juta tahun sepanjang 1.7 meter ini ditemui di Monte Alto pada 2004, kira-kira 350 kilometer dari barat laut Sao Paulo.
Penemuan fosil ini memberikan peluang yang besar untuk ahli paleontologi mengkaji perubahan evolusi pada haiwan ini. Selain itu, penemuan ini juga penting kerana selama ini tidak banyak bukti tentang fakta bahawa buaya hidup di darat.
Dewan Masyarakat.