
SINGAPURA: Singapura menghentikan penjualan keju mozzarella Itali diperbuat daripada susu kerbau selepas Itali semalam mengarahkan penarikan semula produk yang dikatakan tercemar dengan dioksin yang menyebabkan kanser. Pihak Berkuasa Veterinar dan Makanan Pertanian Singapura (AVA) berkata ia akan menghentikan semua jualan keju berkenaan sementara menantikan keputusan ujian makmal sebagai langkah berjaga-jaga.
Import terakhir keju mozzarella kerbau ke Singapura adalah pada 6 Januari lalu tetapi disebabkan maklumat yang terbatas tidak dapat diketahui sekiranya import keju berkenaan sudah tercemar, kata AVA.
Kementerian Kesihatan Itali kelmarin berkata mereka menarik balik produk daripada 25 syarikat di wilayah Campania tempat mozzarella kerbau terbaik Itali dihasilkan.
Perancis turut melarang jualan beberapa keju mozzarella Itali kelmarin tetapi menarik balik larangan itu beberapa jam selepas jaminan Rom bahawa tiada keju yang disyaki berkenaan dieksport ke sana.
- Reuters