Ahad, 30 Mac 2008

Hidung mampu cam bahaya


CHICAGO - Saintis Fakulti Perubatan Universiti Northwestern Chicago di sini mendapati, deria hidung seseorang sebenarnya dapat menghidu dengan segera sebarang perubahan bau yang boleh mendatangkan bahaya.

Kajian terhadap 12 sukarelawan mulanya tidak dapat mengenal pasti perbezaan antara dua bau serupa tetapi dapat membezakannya dengan sempurna apabila menerima renjatan elektrik sederhana semasa uji kaji.

Malah pengimbas otak yang mengenal pasti perubahan dalam menghidu sesuatu benda merupakan sebahagian daripada fungsi otak sendiri, menurut saintis Dr. Wen Li dalam jurnal ternama, Science.

Beliau berpendapat, faktor sejarah kecekapan menghidu seseorang adalah hasil daripada warisan nenek moyang yang menggunakan deria bau sebagai langkah menjauhkan diri daripada ancaman binatang buas.

Semasa eksperimen, sukarelawan didedahkan dengan bau-bauan rumput tetapi mereka tidak dapat mengenal pasti perbezaan antara produk terbabit kecuali selepas menerima renjatan elektrik skala sederhana.

Jelas Wen Li, proses itu berlaku secara evolusi malah membantu individu lebih sensitif dalam kehidupan. Informasi dari alam semula jadi dapat memberi amaran kepada manusia tentang kemungkinan bahaya dan kita perlu memberi tumpuan kepadanya.

- Agensi