Ahad, 30 Mac 2008

Dolfin guna kayu sebagai senjata


RIO DE JANEIRO - Sekumpulan dolfin sungai di benua Amerika Selatan suka menggunakan ranting, rumpair dan lumpur sebagai senjata memikat pasangan atau menakutkan lawan.

Penemuan yang disiarkan jurnal Biology Letters itu mendedahkan, spesies lumba-lumba tersebut gemar membawa objek berkenaan mengelilingi dolfin betina sebelum dihempaskan.

Kelakuan aneh itu belum pernah direkodkan terhadap mana-mana mamalia marin. Dolfin spesies boto ini hanya mendiami di dua batang sungai di negara itu dan bilangannya didapati kian berkurangan.

Pasukan penyelidik Brazil dan British telah menjalankan kajian ke atas kelakuan pelik dolfin ini sejak tiga tahun lalu meliputi zon rizab Mamiraua, iaitu kawasan paya di Amazon.

"Anda dapat lihat dolfin-dolfin itu datang membawa dahan pokok atau lumpur setiap kali melakukan ritual sedemikian," jelas Prof. Tony Martin dari Unit Kajian Marin Laut, Universiti St. Andrews.

Biarpun dolfin jantan agak agresif ketika bersaing merebut pasangan, namun mamalia itu tidak sesekali mencederakan pesaing dengan ranting atau lumpur dibawanya.

- Agensi