
Pengajaran agama itu diharap bantu integrasi Muslim dalam masyarakat tempatan
BERLIN: Kerajaan Jerman secara dasarnya bersetuju membenarkan pengajaran agama Islam sebagai mata pelajaran rasmi di semua sekolah awam dalam usaha membantu melancarkan proses integrasi penduduk Muslim ke dalam masyarakat negara itu. Akhbar tempatan, Deutsche Well melaporkan semalam, kesediaan Berlin itu disuarakan Menteri Dalam Negeri, Wolfgang Schaeuble pada hari terakhir Persidangan Islam anjuran kerajaan di sini, kelmarin.
Pada masa ini, sekolah di Jerman cuma menawarkan subjek bidang Judaism, Katolik dan Protestan. Islam juga menjadi agama ketiga paling banyak dianuti selepas Kristian Protestan dan Katolik.
"Tidak lama lagi jika sesuai, kita akan mewujudkan kelas agama Islam di sekolah Jerman. Ini secara langsung membantu proses integrasi serta mengelak masyarakat Muslim hidup tersisih.
"Ia juga dapat membantu ibu bapa tidak lagi menghantar anak-anak mereka ke sekolah atau kelas pengajian Islam yang tidak rasmi dan seterusnya mengelak golongan muda itu terjebak dengan kumpulan ekstremis," katanya.
Schaeuble berkata, langkah memulakan pengajaran Islam di sekolah Jerman juga penting bagi mengekang penularan fahaman salah yang mencetuskan kebencian terhadap bukan Islam.
"Kita mahu semua masyarakat hidup bersatu dan dengan adanya kelas seperti ini, ia dapat mewujudkan persaingan yang baik."
Beliau turut menyuarakan sokongannya terhadap pembinaan masjid dan kawasan perkuburan Islam yang baru di negara itu, selaras dengan peningkatan bilangan penduduk Muslim.
"Kerajaan berasakan inilah cara untuk kemajuan masa depan, dengan bergerak selangkah demi selangkah."
Persidangan tahunan itu adalah hasil inisiatif kerajaan yang diwujudkan sejak September 2006, dalam usaha membantu 3.4 juta penduduk Muslim Jerman menyertai masyarakat.
- Agensi