Ahad, 16 Mac 2008

Pemimpin Iran isytihar kemenangan


Mahmoud Ahmadinejad

TEHERAN - Para pemimpin Iran semalam mengisytiharkan pilihan raya parlimen negara itu sebagai satu kemenangan yang menunjukkan rakyat negara berkenaan enggan tunduk kepada Barat.

Amerika Syarikat (AS) dan Eropah menuduh pilihan raya tersebut sebagai tidak adil kerana kebanyakan golongan reformasi dihalang daripada bertanding.

Berdasarkan pengiraan awal kecuali di Teheran, golongan konservatif yang menyokong pemerintahan ulama di Iran berjaya mengekalkan pengaruh mereka di parlimen.

Bagaimanapun, kemenangan pihak konservatif yang mengusai parlimen sejak 2004 itu kini berpecah kepada dua kumpulan.

Sekutu Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad memenangi kebanyakan kerusi tetapi satu blok berpengaruh yang terdiri daripada penyokong beliau kini menjadi penentangnya.

Para penentang itu mengkritik pemerintahan Mahmoud selepas mereka tidak berpuas hati dengan cara pemimpin itu menguruskan ekonomi negara yang semakin merosot.

Golongan reformis yang mendesak negara itu lebih mengamalkan demokrasi dan menjalinkan hubungan rapat dengan Barat dijangka hanya memenangi sejumlah kecil kerusi di parlimen.

Kementerian Dalam Negeri melaporkan peratusan rakyat negara itu yang membuang undi adalah 60 peratus.

- AP