19 November 2002
Seorang kanak-kanak, Toh Ching Ming, diculik oleh empat orang lelaki yang dipercayai tiba-tiba muncul di rumahnya di Taman Setia, Temerloh, Pahang pada pukul 8.30 pagi. Ketika itu dia bersama-sama dengan ibu, pengasuh dan dua orang adiknya. Empat orang lelaki yang tiba-tiba muncul terus mengikat ibu mangsa, 43 tahun dan pengasuh mangsa. Mereka menyumbat dua biji pil setiap seorang sebelum menutup mulut mangsa dengan plaster. Mereka melarikan Ching Ming dengan menaiki kereta yang menunggu di hadapan rumah. Selepas kira-kira sejam mangsa dilarikan, ibu mangsa menerima panggilan telefon daripada penculik yang meminta wang tebusan RM3 juta. Ching Ming dibebaskan selepas keluarganya membayar wang tebusan yang dipersetujui. Mangsa ditinggalkan seorang diri di sebuah restoran makanan segera di Plaza Phoenix, Cheras pada pukul 9.50 malam pada hari yang sama. 12 hari selepas kejadian culik itu, polis berjaya menangkap keempat-empat orang termasuk dua orang wanita di Ipoh dan Serdang untuk siasatan lanjut.
23 November 2003
Polis berjaya memberkas enam orang termasuk dua orang wanita yang dipercayai terlibat dalam kes penculikan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun di taman perumahan di Sungai Petani pada 16 November 2003, selepas keluarga mangsa membayar wang tebusan lebih daripad RM50 ribu. Selepas menerima wang tebusan, mangsa dibebaskan pada keesokan harinya (17 November 2003), tidak jauh dari rumahnya. Gerakan memburu penculik dilakukan sejurus selepas laporan dibuat oleh keluarga mangsa yang juga ahli perniagaan di Sungai Petani. Polis berjaya menangkap semua penculik pada 21 November 2003 di Pulau Pinang. Hasil tangkapan tersebut, polis berjaya merampas semula sebahagaian daripada wang tebusan tersebut dan beberapa nuah telefon bimbit yang dipercayai digunakan dalam kegiatan tersebut.
22 Februari 2005
Empat orang suspek ditahan reman bagi membantu siasatan kes penculikan seorang kanak-kanak berusia 10 tahun yang membabitkan tebusan sebanyak RM300 ribu. Majistret Suriaaniakma Abd. Kadir membenarkan kesemua suspek berkenaan direman selama enam hari dan mengeluarkan perintah tersebut mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi membolehkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 3 Akta Penculikan 1961.
17 Mei 2006
Ho Ping, murid tahun satu dilaporkan diculik. Ping dibunuh selepas dia diculik dari kediamannya di SS19/4A, Subang Jaya berikutan bapa mangsa enggan meminjamkan RM80 ribu kepada suspek. Mangsa dipercayai dicekik dan mukanya dibalut dengan beg plastik sehingga menyebabkan mangsa sesak nafas dan meninggal dunia. Selepas mendapati Ping tidak bernyawa lagi, suspek memasukkan mayatnya ke dalam beg pakaian sebelum mencampakkan beg tersebut ke dalam sungai. Empat hari kemudian, pada pukul 10.15 pagi, mayat Ho Ping ditemui di dalam beg pakaian yang tersangkut pada ranting pokok dari jambatan Sungai Sitiawan, Perak. Suspek dipercayai abang ipar Ho Ping bersama-sama dengan teman wanitanya yang merupakan warga China.
14 Februari 2006
Seorang kanak-kanak yang berusia tujuh tahun diculik oleh tiga orang penganggur yang dikenali sebagai Moong Wee Liam @ William, 32 tahun, Chung Chee Pin, 28 tahun dan Wan Keng Yew, 27 tahun. Tiga orang penganggur ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas tuduhan menculik untuk mendapatkan wang tebusan sebanyak RM80 ribu.
25 April 2006
Lo Ching Poon, lapan tahun dilaporkan diculik. Pada 8 Mei 2006, mayatnya ditemui di Taman Teknologi Senai.
31 Mac 2007
Muhammad Nazrin atau Yin, lima tahun, dilaporkan hilang di kompleks beli-belah Sogo. Lima belas hari selepas dilaporkan hilang, Yin diserahkan oleh pasangan suami isteri warga Myanmar, Rasidah Nur Islam, 27 tahun dan Abdul Rahman Doli Rahman, 31 tahun yang tinggal di Sentul Pasar.
20 Ogos 2007
Nurin Jazlin Jazimin, pelajar Tahun Dua Sekolah Rendah Kebangsaan Desa Setapak diculik setelah keluar bersendirian ke pasar malam di Seksyen 1, Wangsa Maju. 30 hari selepas kehilangannya, Nurin ditemui mati dalam keadaan yang menyayat hati.
9 Januari 2008
Nur Fatiha Zaidi, enam tahun, diculik di Taman Medan, Petaling Jaya. Tiga jam kemudian, Nur Fatiha ditinggalkan di Wangsa Maju, Kuala Lumpur.
9 Januari 2008
Sharlinie Mohd. Nashar, lima tahun, diculik ketika dalam perjalanan pulang selepas bermain bersama-sama kakaknya di padang permainan yang terletak kira-kira 200 meter dari rumahnya di No. 29, Jalan PJ2C/11N, Taman Medan, Petaling Jaya. Sehingga kini Sharlinie masih belum ditemui.
Sumber: Dewan Masyarakat.