
ULAR di wilayah selatan tanah air dikenal pasti kurang berbisa berbanding reptilia sama di utara kerana faktor cuaca berbeza. - Gambar hiasan
MITOS reptilia ini cukup gah. Menurut kepercayaan sesetengah masyarakat, ular tedung dianggap satu legenda, suci dan kehadirannya dikatakan membawa kemakmuran.
Namun beberapa kes baru-baru ini melibatkan nyawa seperti Othman Basir Bani, 51, di Sungai Petani dan Eklim a/p Naideng di Pendang; kedua-duanya di Kedah, memberi perspektif baru mengenai reptilia ini.
Merupakan keluarga Elapidae, spesies Cape Cobra, Naja nivea, Indian Cobra, Naja naja dan Egyptian Cobra merupakan antara yang amat berbahaya.
Menurut pegawai Pusat Racun Negara, Universiti Sains Malaysia (USM), Rosman Ahmad, faktor cuaca, gangguan dan musim pembiakan menjadi penyebab utama ular berbisa ini menyerang dan mematuk manusia.
Walaupun ada individu mendakwa diri mereka 'kebal' dengan bisa ular, namun insiden yang menimpa Raja Ular Malaysia, Ali Khan Shamsuddin pada tahun 2006 yang maut akibat dipatuk ular memberi gambaran jelas bahawa tabiat haiwan ini tidak boleh dijangka.
"Kandungan racun seperti haemotoksin, neurotoksin dan miotoksin mampu membunuh manusia hatta seekor gajah namun bergantung kepada jenis racun yang mendominasi ular itu," katanya.
Di Malaysia, ular senduk mempunyai bahan racun saraf yang lazimnya mampu melumpuhkan sistem saraf mangsa dalam masa beberapa minit sahaja.
Dalam pada itu, antivenin, sejenis ubat yang diproses khas daripada bisa ular boleh diguna sebagai antidot gigitan ular berbisa.
"Namun, antivenin ini spesifik kepada satu-satu spesies ular sahaja dan kesilapan memberi vaksin boleh membawa maut," tegas Rosman.
Ironi, meskipun ada antivenin yang boleh digunakan untuk merawat semua jenis bisa gigitan ular iaitu antivenin Polivalent, kuantiti stok di hospital adalah terhad.
Pendapat ini turut dipersetujui pensyarah Jabatan Perubatan Molekul Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. Tan Nget Hong yang menyatakan, terdapat beberapa faktor mengapa keadaan ini berlaku.
"Biarpun kos penyediaan antivenin tidak mahal namun kapasiti kes patukan ular di negara ini kecil membuatkan ia tidak berbaloi dikomersialkan," katanya.
Tambah beliau, antivenin secara dasar lebih diperlukan di wilayah utara dan yang bersempadan dengan Thailand kerana kawasan tersebut paling banyak ular.
"Kita tiada angka terperinci. Cuma berdasarkan kes dilapor di hospital, ia banyak melibatkan zon utara Pulau Pinang," katanya.
Oleh SHANIKA ABDULLATIB
Kosmo!