
PEMBINAAN stesen KL Sentral pada awal 1990-an mengubah imej Brickfields sebagai hab pengangkutan awam bersepadu terbesar di Malaysia.

BALAN menunjukkan buku yang ditulisnya tentang pengalaman beliau mengenai sejarah Brickfields.
SEBUT sahaja nama Batu Limabelas Damansara, tentu ramai menggeleng kepala termasuk warga Kuala Lumpur sendiri dan mungkin ramai menyangka ia terletak di sekitar Damansara dekat ibu negara.
Namun, sekiranya dirujuk sebagai Brickfields, barangkali semua akan mengangguk dan merujuk kawasan tersebut yang kini pesat membangun dengan mercu tanda utama stesen kereta api bersepadu, KL Sentral.
Hakikatnya, seperti Batu 20 Jalan Ipoh yang kini dikenali sebagai Rawang, Batu Limabelas bukan asing kepada masyarakat Melayu sebelum kurun ke-20 malah ia dicatat dalam pelbagai rekod sejarah British.
Jangan terkejut, hotel pertama di Kuala Lumpur, iaitu Victoria yang dibuka pada tahun 1896 oleh bekas pegawai polis Inggeris di Selangor, Steve Harper, juga terletak di Brickfields.
Menyedari tidak ramai generasi muda tahu sejarah pekan itu, seorang penulis, Balan Moses berkongsi pengalaman hidupnya membesar di situ melalui buku Brickfields: A Place, A Time, A Memory.
"Dua sebab kenapa saya mahu menulis buku ini. Satu, mahu mendokumentasikan pembaharuan dan pembangunan pesat Brickfields serta kedua membawa kembali koleksi memori kehidupan bagi dikongsi bersama," jelas Balan.
Akrabnya hubungan Balan dengan pekan itu dapat saja dibaca dalam buku ini.
Ibarat pepatah tempat jatuh lagi dikenang inikan pula tempat bermain, nyata menggambarkan jalinan erat Balan mengimbau nostalgia Brickfields.
Mungkin buat Balan, ia lambang dua situasi berbeza tetapi merakamkan satu kejayaan. Dulu sebuah kawasan terbiar tetapi kini bangkit di tempat sama - Brickfields yang baru dan pesat membangun.
"Saya terkenang main lastik, konda kondi selain hoki semasa 1960-an diikuti detik indah main layang-layang serta perayaan Wesak Buddha yang sangat happening," jelas Balan.
Beliau menambah, di negara ini mungkin ada dua tempat sahaja yang dibangunkan khas koloni British untuk dijadikan kawasan depot kereta api - Sentul dan Brickfields.
Seperkara perlu diingat, jangan samakan Brickfields dengan Bangsar yang terletak tidak jauh dari situ kerana Bangsar yang agak lebih elit sebenarnya baru sahaja 'timbul' selepas Brickfields.
"Brickfields banyak menggamit memori. Ada nada ria zaman kanak-kanak membesar, menaiki beca ke sekolah bersama rakan-rakan pelbagai kaum dan kenangan Little India - syurga penggemar makanan sama ada tose, mi goreng dan sate," tambah Balan.
Beliau turut menjentik perasaan terharu kisah peribadinya apabila mengimbau mengenai betapa golongan istimewa iaitu cacat penglihatan menjadi begitu sinonim kepada imej Brickfields sejak sekian lama.
Rezeki golongan ini seolah-olah ada di Brickfields dan mereka 'mencuri' perhatian masyarakat normal selepas lokasi ibu pejabat Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) berpindah dari Jalan Sultan Abdul Samad ke Jalan Tebing di situ.
Kepada Balan, beliau menganggap anekdot jatuh bangun dirinya bersama Brickfields, bukan lagi sekadar tempat kelahiran yang tercatat di kad pengenalannya semata-mata, bahkan imej pekan tersebut lebih daripada itu.
Brickfields bagi beliau merupakan episod perjalanan hidup sebuah masa dan merakamkan banyak kenangan yang tidak sama nilai dengan wang ringgit malah sebenarnya lebih mahal daripada rakaman sebuah kenangan biasa.
Kosmo!