Selasa, 4 Mac 2008

Litar go-kart terpanjang di Asia Tenggara


LAKARAN artis mengenai litar go-kart sepanjang 1.6km bakal dibina di Ayer Keroh, Melaka.

MELAKA - Sebuah litar go-kart terpanjang di Asia Tenggara akan dibina di Ayer Keroh dengan kos RM9.9 juta pada Ogos ini.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, litar sepanjang 1.6 kilometer itu akan dibina di kawasan seluas 22.26 hektar.

"Laluan lurusnya selebar 10 meter dan ia turut dilengkapi lorong perkhidmatan membaiki go-kart yang boleh memuatkan sehingga 12 buah go-kart," katanya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas merasmikan majlis pecah tanah litar go-kart tersebut di sini semalam.

Mohd. Ali memberitahu, litar berkenaan boleh memuatkan 500 penonton dan mempunyai galeri tetamu terhormat, bilik media, bilik perubatan, bilik mesyuarat, bilik keselamatan serta ruang persalinan.

"Kemudahan lain yang disediakan termasuk restoran yang boleh memuatkan 200 orang, gerai kra tangan, 450 petak letak kereta dan suasana landskap yang menarik di sekeliling litar," tambahnya.

Menurutnya, pembinaan litar berkenaan juga diharap dapat mengurangkan masalah lumba haram di kalangan 'mat rempit'.

"Ini kerana kemudahan di sini bukan saja terhad kepada go-kart tetapi juga boleh digunakan untuk perlumbaan motosikal," ujarnya.

Oleh ROSLI HASSAN
Kosmo!