Rabu, 5 Mac 2008

Pembatalan guna dakwat modal buat pembangkang



TINDAKAN Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membatalkan penggunaan dakwat khas bagi menanda kuku atau jari pengundi pada pilihan raya umum Sabtu ini, agak mengejutkan dan mencetuskan rasa kurang senang semua pihak. Ini termasuk parti politik yang bertanding dan pengundi yang bakal melaksanakan tanggungjawab mereka dalam tempoh 50 jam lagi. SPR memberi alasan, langkah diambil atas faktor perundangan, ketenteraman dan keselamatan awam, namun dalam tempoh kehangatan berkempen pada saat akhir hari pengundian, langkah itu nampaknya memberi kesan kurang baik kepada badan pengendali pilihan raya kebangsaan itu sendiri. Kerajaan turut terpalit dengan pengumuman itu, yang mengundang Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta badan itu segera memberi penjelasan kepada semua wakil parti politik yang bertanding. SPR dilihat mempunyai alasan kukuh berasaskan pandangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membatalkan penggunaan dakwat itu, selepas siasatan polis mengesan kemungkinan berlaku penyelewengan pihak tertentu pada tempoh pengundian. Mungkin alasan itu boleh diterima memandangkan hal keselamatan awam terutama ketika hangat berkempen boleh mencetuskan masalah besar kepada pengendali pilihan raya dan polis. Bagaimanapun, membangkitkan masalah undang-undang bagi membatalkan penggunaan dakwat, memperlihatkan SPR kurang teliti sebelum pengumuman mengenainya dilakukan tahun lalu. Biasanya penggunaan kaedah baru terutama membabitkan orang awam perlu melalui kajian dan penyelidikan terperinci terutama bidang perundangan bagi mengelak ia mencetuskan masalah pada kemudian hari. Selepas SPR mendapat lampu hijau Majlis Fatwa Kebangsaan, Ogos tahun lalu yang membenarkan penggunaan dakwat berkenaan kepada pengundi Islam, badan itu terus mengumumkan penggunaan buat pertama kali dalam Pilihan Raya Umum Ke 12, Sabtu ini.

Kita sejak mula lagi hairan kenapa SPR mahu memperkenalkan penggunaan dakwat, kaedah yang digunakan di negara ketiga dengan kebanyakannya rakyatnya yang buta huruf. Di India dan Indonesia di mana rakyatnya masih ramai buta huruf, dakwat hitam memang sesuai digunakan kerana mereka mungkin mudah dipergunakan parti politik. Bagaimanapun, majoriti di negara ini bukan saja celik huruf tetapi berpendidikan yang tidak mudah diperdaya oleh mana-mana parti politik. SPR berbuat demikian mungkin kerana desakan pembangkang yang mendakwa kononnya wujud ramai pengundi hantu dalam setiap kali pilihan raya. Memang sifat pembangkang, mereka sentiasa mencari kesalahan orang lain dan membuat tuduhan melulu jika gagal dalam pilihan raya. Apa pun yang pihak berkuasa lakukan tidak mungkin memuaskan hati mereka. Ketika memperkenalkan langkah ini dulu pun pembangkang bising dan apabila SPR membatalkannya kelmarin, pembangkang menjadikannya isu dengan melemparkan pelbagai tuduhan.

Adalah tidak adil untuk meletakkan seluruh kesalahan kepada SPR kerana badan berkenaan mungkin menyedari masalah besar bakal timbul sekiranya terus melaksanakan penggunaan dakwat berkenaan. Atas niat baik itu, badan itu sanggup berhadapan dengan risiko dikritik pedas terutama di kalangan penyokong dan pemimpin pembangkang yang sebelum ini, tidak sekata dengan SPR. Keputusan sudah diambil SPR, kita berharap semua pihak termasuk pembangkang menerimanya. Mungkin ada hikmah di sebalik pembatalan berkenaan. Kita boleh menjerit, marah dan mengkritik SPR, namun sekiranya kita kembali merenung alasan yang badan itu diberikan, bagi memastikan proses pilihan raya dan demokrasi berlangsung dalam keadaan aman, ia adalah keputusan positif.

Berita Harian