
LOS ANGELES: Penerbit ‘American Idol’ tidak mengendahkan skandal seks terbaru yang melanda rancangan televisyen paling popular Amerika Syarikat itu sambil mengatakan calon David Hernandez masih diterima dalam pertandingan berkenaan walaupun pernah bekerja sebagai penari bogel satu ketika dulu.
“Kami pernah mempunyai penari bogel dalam siaran ini sebelum ini,” kata eksekutif penerbit Ken Warwick dipetik sebagai berkata kelmarin seperti yang diberitahu kepada laman web TVGuide.com.
“Kami tidak pernah memandang rendah mereka yang melakukan perkara seperti itu.”
“Jika ia adalah aksi porno keterlaluan, mungkin kami akan mengambil tindakan, tetapi bukan ini.”
Ulasan Warwick ketika muncul laporan media bahawa Hernandez, 24, pernah bekerja sebagai penghibur dewasa di kelab penari bogel Phoenix di mana dia muncul secara bogel sambil mempersembahkan tarian riba bagi pelanggan lelaki.
Rangkaian Fox yang menyiarkan ‘American Idol’ enggan mengulas perkara itu. Namun, sumber rapat rancangan itu berkata Hernandez masih dikekalkan dalam pertandingan itu sehingga dia diundi oleh peminat.
- Reuters