
Gambarajah Litar F1 Sepang
ADA dua catatan sejarah terukir di Grand Prix Malaysia Petronas 2008 yang berlangsung di Litar Antarabangsa Formula Satu (F1) Sepang kelmarin. Pertama, jumlah penonton kali ini adalah yang terbesar sejak perlumbaan itu diadakan di negara ini pada 1999. Kehadiran 126,690 orang pada hari terakhir perlumbaan atau 172,382 penonton sepanjang tiga hari, tertinggi setakat ini, menjadikan perlumbaan edisi ke-10 itu begitu bermakna, mengatasi jumlah 120,000 penonton tahun lalu. Sejarah kedua ialah kejayaan pemandu BMW Sauber, Robert Kubica meraih tempat kedua, sekali gus memberikan hadiah podium buat kali pertama di Litar Sepang kepada rakan penaja premium pasukan itu, Petronas, yang dilihat begitu bermakna. Ini kerana sejak pertama kali Malaysia menjadi tuan rumah pada 1999, pasukan F1 yang ditaja syarikat petroleum gergasi itu belum pernah menempatkan pemandunya di pentas pemenang dalam perlumbaan di gelanggang sendiri. Kali ini, pemandu muda Poland itu bukan saja menaiki podium, malah kedua-dua pemandu BMW Sauber menamatkan perlumbaan dengan kutipan mata, seterusnya melonjakkan pasukan itu di tangga kedua Senarai Pengeluar. Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada semua krew, jurutera, juruteknik termasuk dari Petronas, atas kejayaan itu. Perlumbaan kali ini itu diungguli Kimi Raikkonen dari pasukan Ferrari, manakala tempat kedua dimenangi Kubica dan ketiga, Heikki Kovalainen dari pasukan McLaren Mercedes.

Jelas, perlumbaan F1 di Sepang yang dikaitkan sebagai 'perlumbaan paling hangat' masih relevan dan mencapai titik kegemilangan kelmarin walaupun sesekali awan mendung berarak menghampiri kawasan persekitaran litar. Ini membuktikan Malaysia komited dalam pembangunan sukan permotoran sama ada di peringkat tempatan atau serantau. Kita percaya ramai bakat muda di negara ini boleh diketengahkan dan dibimbing untuk menjadi juara perlumbaan sukan bermotor pada masa depan jika terus diberi sokongan dan galakan. Apa yang menarik, perlumbaan tahun ini mencatat sejarah kerana ia adalah kali ke-10 berturut-turut Malaysia menjadi tuan rumah. Sedekad lalu, perlumbaan F1 di Asia hanya diadakan di Jepun, tetapi kemudian berjaya diadakan di Malaysia dengan penganjuran pertama pada 1999. Kejayaan Malaysia menganjurkan sukan itu membantu menarik minat negara Asia lain untuk menjadi tuan rumah, seperti Bahrain dan China pada 2004 seterusnya Singapura pada September ini.
Berdasarkan kesungguhan Malaysia dalam sukan bermotor, kita percaya Petronas dan penganjurnya, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) akan terus menjadi pemain penting dalam bidang itu, yang bukan hanya meningkatkan lagi popularitinya malah sudah sedia untuk bersaing dalam sukan yang semakin menjadi tumpuan ramai. Kita harap sukan permotoran ini akan menjadikan Asia hab baru sukan bermotor antarabangsa bagi menyaingi Eropah yang lebih dulu ke depan. Malah, dengan penyertaan Singapura sebagai tuan rumah serta bandar lain di Asia pada masa depan, ia akan meningkatkan lagi minat pelbagai pihak menyertai industri berkaitan dengannya khususnya pelancongan di rantau ini. Litar F1 Sepang yang serba canggih sepanjang 5.542 kilometer disiapkan dalam tempoh 14 bulan di kawasan bekas estet kelapa sawit yang kemudiannya bertukar kepada litar perlumbaan bertaraf dunia. Kini, impian untuk menganjurkan perlumbaan F1 berjaya direalisasikan dan ini membuktikan Malaysia konsisten dalam mengendalikan acara sukan berprestij itu. Kita percaya sukan ini adalah satu langkah mengharumkan nama negara di persada dunia, sekali gus menggalakkan rakyat terutama generasi muda berkecimpung dalam industri dan sukan permotoran.
Berita Harian