
Abu Bakar sifatkan pelawat asing bagai cacing, ular dan ulat
SYDNEY: Sebuah akhbar di Australia mendakwa, ulama terkemuka Indonesia Abu Bakar Bashir menyifatkan pelancong umpama cacing, ular serta ulat dan menggesa papan tanda ditempatkan di kawasan Muslim sebagai amaran kepada mereka agar berpakaian sopan. "Cacing, ular dan ulat, semuanya haiwan yang melata. Lihat saja di Bali, pelancong kafir berbogel," kata ulama itu dalam ucapan kepada sebuah pertubuhan belia Islam di Jawa Timur Oktober lalu yang dipetik The Australian.
Ceramah agama oleh Abu Bakar, dirakam oleh seorang pelajar universiti Australia yang menjalankan penyelidikan di wilayah itu.
Abu Bakar dipenjarakan hampir 26 bulan atas dakwaan mendalangi beberapa siri pengeboman di Bali pada 2002, sebelum tuduhan ke atasnya digugurkan dan beliau dibebaskan. Abu Bakar juga berkata, papan tanda perlu diletakkan di kawasan Islam sebagai pemberitahuan kepada pelancong Barat agar berpakaian sopan.
Beliau juga menggalakkan generasi muda 'membelasah' orang kafir tetapi tidak jelas sama ada beliau merujuk kepada pelancong di Jawa Timur atau sesiapa yang mendengar ceramahnya.
"InshaAllah tidak akan ada lagi golongan itu di sini. Jika mereka ada di sini, belasah mereka, jangan bertolak ansur," kata beliau yang turut menyeru generasi muda berjihad dan tidak gentar jika dipanggil radikal.
"Pergerakan belia di sini mesti mempunyai cita-cita untuk mati syahid dan mereka mesti yang pertama berada di barisan hadapan, usah bersembunyi, matilah sebagai syahid dan segala dosa anda akan diampunkan.
"Jangan takut jika anda dipanggil Islam radikal kerana itulah pendirian anda yang sebenar. Kita tidak boleh mematuhi undang-undang manusia yang bertentangan dengan undang-undang Allah," katanya.
Tahun lalu Abu Bakar melawat tiga pengebom Bali yang sedang menunggu hukuman dan dilaporkan menyifatkan mereka bukan pengganas tetapi penentang keganasan serta mujahid.
- AFP