Ahad, 2 Mac 2008

Pemandu teksi buat cerita palsu ditahan


Klever Sailema

NEW YORK: Seorang pemandu teksi yang membawa seorang bayi perempuan ke balai bomba atas alasan budak itu ditinggalkan dalam teksinya, ditahan dan didakwa membuat cerita palsu untuk membantu sebuah keluarga membuang bayi berkenaan. Klever Sailema menerima pujian melambung selepas dia meninggalkan bayi berkenaan Khamis lalu dan berkata mangsa, yang berusia enam bulan, dibiarkan dalam teksinya oleh seorang yang tidak dikenali.

Kes berkenaan mendapat liputan luas di New York selepas gambar bayi perempuan comel itu - yang menurut polis adalah anak kepada seorang gadis berusia 14 tahun dan seorang lelaki hampir dua kali ganda usianya - disiarkan dalam akhbar dan disiarkan di televisyen.

Dia memberitahu penyiasat penumpangnya ialah seorang lelaki kelihatan takut yang menaiki teksinya dengan membawa bayi dan beg lampin pakai buang, kemudian menghilangkan diri selepas meminta dia berhenti di tepi jalan untuk membuat panggilan telefon. Sailema, 44, memberikan maklumat terperinci sehingga polis mengeluarkan lakaran suspek. Dia mengulangi ceritanya kepada wartawan pada sidang akhbar Jumaat lalu.

Polis tidak menyebut punca kisah sebenar terbongkar tetapi seorang rakan keluarga, Stuart Caban, berkata dia membawa ibu bayi berkenaan kepada polis petang Jumaat lalu selepas menemui remaja itu berjalan di Bronx, sambil membawa akhbar yang menyiarkan gambar anaknya dan menangis.

“Saya tertekan, takut dan menangis. Dia sayangkan anaknya. Dia mahu bersama anaknya,” kata Caban, 23 tahun.

Remaja itu memberitahu dia tidak mahu meninggalkan bayinya tetapi melarikan diri selepas bergaduh dengan bapa bayi itu, kata Caban.

Ibu bayi itu berkemungkinan tidak dikenakan dakwaan kerana faktor usia, kata jurucakap polis, Paul Browne. Penyiasat masih memburu bapa bayi itu yang berusia 27 tahun lewat kelmarin.

- AP