CARDIFF: Seorang wanita yang dijatuhkan hukuman bersalah sebanyak 60 kali kerana membuat panggilan palsu ke talian 999, terlepas daripada menjalani hukuman penjara selepas terapi kejutan gagal merawat ketagihannya. Mahkamah Cardiff diberitahu Thelma Dennis, 50, mempunyai sejarah 24 tahun membuat panggilan bom palsu dan 'ancaman bunuh.'
Dia dipenjarakan dua kali kerana membuat panggilan palsu kepada unit perkhidmatan kecemasan dan bersetuju menjalani rawatan terapi elektrod dalam usaha merawat ketagihannya.
Elektrod dilekatkan pada jari Dennis dan doktor menyuruh dia menghubungi talian 999. Setiap kali mendail nombor terakhir, arus elektrik digerakkan dan menyambar seluruh tubuhnya, menyebabkan dia meraung kesakitan. Bagaimanapun, kesakitan itu tidak cukup untuk mengawal ketagihan Dennis. Mahkamah diberitahu dia menghubungi pusat kawalan polis dan mendakwa ada sebutir bom dalam setor Iceland di Mountain Ash.
"Dennis membuat panggilan itu selama 24 tahun. Dia meminta maaf dan betul-betul menyesal," kata peguamnya, Jane Rowley.
Hakim Ian Murphy berkata, beliau tidak akan mengenakan hukuman penjara terhadap Dennis kali ini kerana dia tidak melakukan kesilapan itu selama empat tahun.
"Memang jelas individu ini mempunyai desakan untuk membuat panggilan palsu, terutama apabila mabuk," katanya.
Murphy menambah, jika Dennis melakukan kesalahan itu lagi dan dihadapkan ke mahkamah, beliau tidak mempunyai pilihan lain kecuali memberikan hukuman berat.
Beliau memberikan arahan pemerhatian selama 12 bulan ke atas Dennis selepas mengaku memberikan maklumat palsu mengenai ancaman bom.
- Agensi