Shah Rukh Khan
AHMEDABAD: Seorang peminat setia aktor Shah Rukh Khan memberikan hadiah unik untuk diri sendiri sempena hari jadinya dengan menjalani pembedahan membentuk lesung pipit. Wanita yang cuma dikenali Anjali itu genap berusia 20 tahun 10 Mac ini dilaporkan begitu terpukau dengan lesung pipit Shah Rukh dan memutuskan untuk mendapatkan sepasang bagi diri sendiri.
Bekerja sebagai akauntan di Pasaran Saham Ahmedabab, Anjali, dikategori cantik, tetapi terlalu menginginkan lesung pipit.
"Saya selalu berangan-angan lesung pipit dalam di pipi saya ketika tersenyum, seperti Shah Rukh," katanya.
Anjali akhirnya memutuskan untuk menjalani pembedahan untuk mendapatkan lesung pipit sempen hari jadinya yang ke-20 dan kelmarin, dia mengunjungi klinik seorang pakar bedah kosmetik terus dari pejabatnya.
"Kami membuat turisan di pipi dan kemudian menyambung otot senyum dengan lapisan kulit dengan jahitan. Ia semudah itu," kata pakar bedah plastik, Dr Vijay Bhatia. Sejam kemudian, Anjali melihat dirinya di cermin, tersenyum lebar dan lesung pipit yang baru dihasilkan terserlah.
Pakar bedah plastik mengaku lesung pipit seperti Shah Rukh dan aktres Preity Zinta menarik minat ramai gadis yang mahu cantik seperti selebriti.
- Agensi