
Daniel Radcliffe
LONDON - Hero filem Harry Potter, Daniel Radcliffe (gambar atas) kini mendapat perlindungan empat bekas anggota Rejimen Perkhidmatan Udara Khas (SAS) setelah menerima satu ancaman bunuh daripada seorang penghendap, lapor sebuah akhbar semalam.
Para pengarah studio perfileman Warner Bros meminta bekas anggota pasukan elit itu melindungi Radcliffe, 18, kerana bimbang dengan keselamatan aktor berkenaan.
Radcliffe dilaporkan terpaksa menaiki tiga kereta berlainan pada Sabtu lalu ketika menjalani penggambaran filem terbaru Harry Potter.
Pemandu Radcliffe yang berkhidmat dengan aktor itu sejak tujuh tahun lalu juga kini terpaksa menyerahkan sementara tugas tersebut kepada pengawal peribadinya.
Bentuk ancaman bunuh yang diterima oleh aktor itu masih belum didedahkan tetapi ia disampaikan melalui studio perfileman, Warner Bros.
Bagaimanapun, beberapa sumber berkata, Warner Bros memandang serius ancaman itu dan mahu aktor itu diberikan perlindungan.
- Agensi