BANGI: Negara mampu melahirkan 100,000 doktor falsafah atau kelayakan setaraf dalam pelbagai bidang, termasuk bioteknologi menerusi institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan menjelang 2010, kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. Beliau berkata, keyakinannya itu berdasarkan kewibawaan IPT tempatan memenuhi hasrat kerajaan dalam melahirkan modal insan berkualiti tinggi dan bertaraf dunia.
“Saya berkeyakinan penuh menjelang 2020, negara yang diumumkan menjadi negara maju akan dapat mencapai matlamat ditetapkan dalam Pelan Strategik Pengajian Tinggi.
“Saya juga percaya kepemimpinan, kemudahan serta tenaga pengajar IPT yang berkaliber dan berpandangan jauh akan mencapai matlamat ditetapkan itu dan membawa kejayaan besar kepada negara,” katanya selepas menghadiri majlis taklimat tertutup serta lawatan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini semalam.
Hadir sama Timbalannya, Datuk Idris Haron dan Datuk Dr Hao Kok Chung; Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Prof Datuk Dr Hassan Said; Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Dr Mazlan Hamid dan Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin.
Beliau mengulas laporan akhbar kelmarin mengenai negara mengalami kekurangan pakar serta penyelidik dalam bidang bioteknologi kerana hanya mempunyai 3,400 penyelidik berbanding Singapura yang memiliki 16,700 tenaga pakar. Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, kementerian tidak akan meminta Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) di London meneruskan siasatan mengenai punca yang mendorong Sufiah Yusof, wanita yang pernah menjadi pelajar pintar Matematik dan diterima masuk ke Universiti Oxford ketika berusia 13 tahun, menjual tubuh untuk menyara hidup.
“Apabila penelitian lanjut dilakukan kementerian, kami mendapati ini bukan soal dia tidak cukup duit untuk biayai pengajiannya dan sebagainya.
“Ini soal peribadi. Dia pun sudah lama tinggalkan universiti dan tidak berkaitan dengan usahanya menyambung pelajaran, jadi kami berasakan usaha itu tidak perlu diteruskan,” katanya.
Oleh Mohamed Farid Noh
Berita Harian