Khamis, 10 April 2008

A Samad tuntut hak terbit tujuh buku daripada DBP


KUALA LUMPUR: Sasterawan Negara (SN), Datuk (Dr) A Samad Said, mengadakan petisyen dengan mendapatkan tanda tangan pengunjung Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2008 bagi menyokong tuntutan hak penerbitan tujuh bukunya daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

“Saya mengambil tindakan ini selepas dua surat rasmi berhubung perkara ini termasuk yang diserahkan akhir tahun lalu kepada Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr Firdaus Abdullah, tidak menerima maklum balas hingga kini,” katanya pada pertemuan dengan Berita Harian di gerai Wira Bukit di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.

Enam daripada tujuh bukunya dituntut hak penerbitan semula kerana tidak diulang cetak oleh DBP ialah Salina, Wira Bukit, Sungai Mengalir Lesu Simpang Drama, Hujan Pagi dan Kumpulan Puisi Panjang Al-Amin. A Samad berkata, tindakan DBP tidak mengulang cetak bukunya merugikan dirinya dengan sesetengahnya lebih 10 tahun dan beliau tidak sanggup menunggu lebih lama melihat karyanya di pasaran semula.

“Saya juga pernah mengingatkan Pengarah Penerbitan DBP, Zulkifli Salleh, mengenai tuntutan saya ini. Mereka kena layan tuntutan saya dengan penuh maruah. Sekarang anak saya memberontak dan menguruskan tindakan ini,” katanya.

Beliau tidak mahu membawa perkara ini ke pihak lebih atas, tetapi jika tiada tindakan susulan, beliau akan mengadakan sidang media Jun ini.

“Jika nak bergaduh, biar bergaduh sungguh-sungguh. Mereka ada telinga, tetapi tidak dengar. Jika dengar, ada akal, tetapi tidak digunakan. Jika akal digunakan, itu tandanya tak ada kalbu. Mereka mungkin tidak teringin menganiaya saya, tetapi perbuatan itu sebaliknya,” katanya.

Mengenai sokongan pengarang dan penulis lain, A Samad berkata, ada antara mereka berani, manakala sebahagian lagi sebaliknya kerana masih bergantung kepada DBP.

Oleh Nazmi Yaakub
Berita Harian