Khamis, 10 April 2008

12,658 banduan pendatang asing

KUALA LUMPUR: Sebanyak 12,658 daripada keseluruhan 36,672 penghuni penjara di seluruh negara adalah warga asing, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar. Selain itu, sehingga April tahun ini, 14,254 warga asing ditahan reman dan menunggu perbicaraan bagi pelbagai kesalahan. Beliau berkata, jumlah tahanan warga asing yang terlalu ramai menyebabkan kesesakan di penjara seluruh negara dan kerajaan dalam proses mengatasi masalah itu.

“Pegawai kementerian dalam proses perbincangan, selain akan mendapatkan nasihat Peguam Negara bagi membolehkan warga asing menghuni penjara menghabiskan baki hukuman di negara masing-masing.

“Beberapa negara di Eropah, Australia dan Jepun sudah melaksanakan dasar ini, tetapi tidak mudah melaksanakannya kerana perlu melalui pelbagai proses undang-undang,” katanya selepas lawatan dan merasmikan Program Pembelajaran Banduan Muda, di Penjara Kajang, di sini, semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, Syed Hamid berkata, Jabatan Penjara akan menjalankan peringkat pertama sistem parol Jun ini.

Katanya, sistem itu akan membantu banduan menyesuaikan hidup dengan masyarakat dan dibimbing mencari pekerjaan melalui program pemulihan komprehensif.

“Mengikut sistem parol, banduan dihukum penjara minimum satu tahun layak mengikuti sistem itu dengan syarat menjalani separuh daripada tempoh penjara dan proses pemulihan.

“Banduan juga layak dipertimbangkan selepas keputusan pertuduhan di mahkamah, proses rayuan serta pengampunan diselesai,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, Jabatan Penjara akan mendapatkan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat bagi membolehkan pesalah melakukan kesalahan ringan tidak ditahan dalam penjara, sebaliknya melakukan kerja kemasyarakatan.

Oleh Khairul Azran Hussin
Berita Harian