Khamis, 10 April 2008

Pemulihan imej kehakiman kembalikan keyakinan rakyat


USAHA mengembalikan keyakinan dan memulihkan persepsi negatif rakyat terhadap badan kehakiman bukanlah sesuatu yang sukar untuk dilakukan jika semua pihak bersikap profesional. Teorinya mudah saja iaitu badan eksekutif, kehakiman dan penggubal undang-undang perlu menghormati bidang kuasa masing-masing mengikut doktrin pengasingan kuasa seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Pendeknya, eksekutif tidak boleh mencampuri keputusan hakim, manakala hakim pula perlu tegas dan tidak membenarkan sebarang pengaruh luar yang mungkin mengganggu proses keadilan. Hakim bukan penggubal undang-undang dan tidak patut mengganggu prinsip perundangan yang sudah lama diamal dan diterima. Jika pendekatan ini diambil oleh semua pihak, maka keyakinan itu boleh menjelma dengan sendirinya. Persepsi buruk terhadap badan kehakiman bukan sesuatu berlaku sebaliknya himpunan pelbagai kejadian sejak dua dekad bermula dengan pemecatan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas dan dua hakim Mahkamah Agung, Tan Sri George Seah dan Allahyarham Tan Sri Wan Sulaiman Pawanteh yang dipecat pada 1988. Oleh itu, kita mengalu-alukan titah Pemangku Sultan Perak, Raja Dr Nazrin Shah kelmarin bahawa suasana sekarang amat sesuai untuk melakukan perubahan dalam badan kehakiman bermula dengan memastikan kuasa kehakiman dikembalikan kepada badan berkenaan. Baginda bersetuju supaya ditubuhkan Suruhanjaya Kehakiman untuk membuat perakuan berhubung pelantikan hakim kepada Perdana Menteri yang seterusnya perlu berbincang dengan Persidangan Raja-Raja.

Raja Dr Nazrin gembira mendapati bahawa sejak beberapa tahun lalu, Perdana Menteri semakin banyak berbincang secara berkesan dengan Persidangan Raja-Raja, iaitu selaras dengan semangat Perlembagaan. Kerana itu, baginda berpendapat ia mendorong meningkatkan lagi keyakinan terhadap badan kehakiman. Cadangan penubuhan suruhanjaya khas bagi mengendalikan pelantikan dan kenaikan pangkat hakim harus diberi keutamaan kerana ia selaras dengan usaha untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap badan kehakiman. Kini terserah kepada badan eksekutif membuat keputusan sekiranya menganggap penubuhan suruhanjaya itu dapat memastikan hanya calon terbaik dipilih sebagai hakim dan seterusnya memulihkan persepsi negatif rakyat terhadap badan kehakiman.

Bagaimanapun, untuk melakukan perubahan ini sudah semestinya memerlukan penelitian terhadap banyak perkara lain dan pelbagai cabaran yang perlu ditempuhi kerana beberapa komponen memerlukan perbincangan lanjut dalam pembaharuan badan kehakiman termasuk pelantikan hakim, konsep pemisahan kuasa dan kenaikan pangkat seseorang hakim. Apa yang penting ialah pucuk pimpinan kerajaan dilihat amat komited untuk melaksanakan perubahan terhadap badan kehakiman. Memang menyedihkan apabila integriti badan kehakiman dipersoalkan dan menjadi bahan jenaka rakyat. Sepatutnya, sebagai entiti berasingan yang bebas, semua pihak mesti menghormati badan profesional itu sebagai pelindung hak setiap rakyat, sejajar dengan fungsi dan semangat Perlembagaan Persekutuan. Kita dukacita mengenai tanggapan rendah terhadap badan kehakiman yang pernah disanjung tinggi bukan saja di rantau ini malah dalam Komanwel. Seperti kata Raja Dr Nazrin, selagi kuasa kehakiman tidak dikembalikan kepada kepada badan kehakiman seperti juga kuasa eksekutif diberi kepada Yang di-Pertuan Agong dan Kabinet, adalah sukar untuk meyakinkan semua pihak bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang ditadbir mengikut undang-undang.

Berita Harian