Rabu, 2 April 2008

Satu lagi filem Belanda anti-Muslim dihasilkan


Kecaman, punca Jami tangguh filem animasi hina Nabi

THE HAGUE: Belum pun reda kemarahan dunia Islam di atas tindakan ahli perundangan Belanda mengeluarkan filem pendek menghina Islam, seorang lagi rakyat negara Eropah itu menghasilkan satu lagi filem anti-Muslim. Namun, kecaman termasuk ancaman saman dihadapi Geert Wilders kerana menghasilkan filem Fitna, menyebabkan Ehsan Jami - seorang Muslim yang murtad menangguhkan filem animasinya yang menghina Nabi Muhammad SAW.

Filem The Life of Muhammad yang sepatutnya ditayangkan 20 April itu menghina junjungan mulia dengan memaparkan naluri seks baginda.

Bagaimanapun, sedutan filem itu sempat ditayangkan di satu saluran televisyen Belanda minggu lalu yang antara lainnya memfitnah Rasulullah menemani isterinya untuk ke masjid, tetapi sempat berasmara.

"Buat masa sekarang filem animasi itu tidak akan ditayangkan selepas Jami mengumumkannya sendiri menerusi kaca televisyen," kata Ayhan Tunja, ahli Majlis Penyelaras Muslim Belanda kepada sebuah perkhidmatan berita Arab, semalam.

Jami, yang berasal dari Iran sebelum murtad, memberitahu program televisyen Netwrek TV yang dia memutuskan tidak mengeluarkan filem animasi berkenaan.

Jami berkata Menteri Kehakiman Ernst Hirsch Ballin sudah pun mengingatkannya kesan buruk bakal dihadapi jika filem itu ditayangkan. Ini termasuk kesan kepada masyarakatnya yang harmoni serta kepentingan negara itu.

"Menteri itu sudah memberitahunya yang Jami perlu bertanggungjawab di atas apa yang akan berlaku selepas ini," kata Tunja.

Katanya, masyarakat Muslim mengalu-alukan tindakan Ballin campur tangan bagi mengingatkan Jami.

"Saya gembira kerana sekurang-kurangnya pada ketika ini Jami akur dengan tuntutan penduduk Muslim yang seramai satu juta orang itu.

"Tetapi kami masih belum berpuas hati dan mahu mengadakan pertemuan dengan Menteri itu bagi menegaskan filem berkenaan tidak sepatutnya ditayang langsung kerana boleh mencetuskan lagi kemarahan umat Islam di seluruh dunia yang sudah pun kecewa dengan satu demi satu penghinaan ke atas Islam."

Bagaimanapun Tunja berkata pendirian itu tidak mungkin dibuat kerajaan ke atas Wilders.

"Ia dua kes berbeza. Tiada siapa pun yang melihat dokumentari Wilders sejak awal dan kerajaan tidak boleh berbuat apa-apa. Namun, sedutan filem animasi Jami sudah pun ditayangkan di kaca televisyen dan kerajaan segera bertindak.

"Itulah kebebasan bersuara yang berlaku di Belanda."

- Agensi