
MENARA Taming Sari yang terletak di Taman Bunga Merdeka, Banda Hilir bakal menjadi satu lagi tarikan pelancong di Melaka. - gambar oleh Kosmo!
MENARA tinjau Melaka yang dikenali sebagai Menara Taming Sari setinggi 110 meter di Jalan Merdeka, Banda Hilir akan memulakan operasinya pada Isnin ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Taming Sari Berhad, Nazary Ahmad berkata, menara bernilai RM23 juta itu dibuka kepada pengunjung bermula pada hari tersebut.
“Dengan menaiki Menara Taming Sari, pengunjung dapat melihat pemandangan Selat Melaka dan kawasan sekitar menara sehingga jarak lima kilometer,” katanya di Melaka semalam.
Menara Taming Sari pada awalnya dibina di tebing Sungai Melaka berdekatan balai polis pelancong di Jalan Kota di sini tetapi terpaksa dipindahkan ekoran penemuan runtuhan Kota Melaka di tapak asalnya ketika kerja-kerja pembinaan dijalankan.
Ia pada mulanya dijadualkan beroperasi pada pertengahan Februari lepas, namun terpaksa ditangguhkan kerana masalah teknikal.
- Kosmo!