Selasa, 11 September 2007

Anak berang Shah Rukh Khan digelar gemuk


MUMBAI: Kegilaan Shah Rukh Khan bersenam untuk mendapatkan fizikal dan otot mantap hingga menimbulkan tanda tanya tiada kena mengena dengan kehendak skrip filem terbaru sebaliknya sekadar memenuhi harapan anak sulungnya, Aryan.

Laporan menyebut, Aryan menendang seorang budak perempuan sekelasnya semata-mata kerana menggelar bapanya ‘gemuk.’

“Tindakan Aryan memang tidak patut tetapi ia memberi kesedaran kepada saya untuk mula bersenam memperbaiki fizikal. Anak saya bergaduh dengan rakan sekelasnya yang berkata saya kelihatan hodoh dalam rancangan Kaun Banega Crorepati dan saya gemuk.

“Memang saya marahkan Aryan kerana menendang budak perempuan itu tetapi dia memberitahu saya, Ayah tidak bodoh, saya tahu. Walaupun saya rasa memang ayah gemuk. Jadi, saya tidak ada pilihan kecuali bersenam,” katanya.

Menyentuh keberkesanan lakonannya dalam Chak De sebagai jurulatih pasukan hoki wanita India, sehingga pengkritik filem mencadangkan dia menjadi duta baru sukan itu di India, Shah Rukh, berkata watak Kabir Khan cuma satu lagi peranan dan bukan sokongan kepada pihaknya untuk mempromosikan sukan itu.

“Bukan saya untuk memutuskan siapa perlu lakukan apa. Berlakon adalah kerjaya saya dan saya amat, amat jelas dengannya. Penaja, badan korporat dan persatuan filem serta persatuan sukan tahu tugas masing-masing.

“Saya bukannya sesiapa untuk berpaling dan berkata, ‘Ok, mulai saat ini, hoki akan menjadi kriket baru.’ Saya cuma gembira kerana dapat memberi komen mengenai sukan yang saya suka,” katanya dalam temubual dengan stesen televisyen NDTV 24X7. – Agensi