Khamis, 13 September 2007

Israel guna media Barat raih simpati dunia


SELASA lalu kira-kira 67 askar Israel yang sedang nyenyak tidur pada awal pagi dalam khemah mereka di Zikim iaitu kawasan Palestin yang diceroboh, cedera terkena roket Qassam dilancarkan pejuang Palestin dari utara Gaza.

Pada mulanya agensi berita Barat melaporkan berdozen-dozen tentera Yahudi cedera. Angka itu kemudian menjadi lebih tepat kepada lebih 40 dan kemudian pula turun kepada 30 orang.

Tidak berapa lama kemudian ia menjadi 69 dan kini 67 orang. Tidak tahu mengapa kejadian sekecil ini pun angka yang cedera susah hendak dianggarkan pihak media. Atau apakah pihak media Barat mempunyai agenda lain selain daripada memberi maklumat tepat?

Tanpa bukti, kita tidak boleh membuat tuduhan melulu, lebih-lebih lagi kita sudah berada pada penghulu segala bulan – Ramadan al-mubarak yang semestinya mengukuhkan tekad memperbaiki diri.

Apa sekali pun, jika diteliti diskusi pembaca dalam laman web sebuah akhbar Israel berhubung kejadian kecil itu, kita seolah-olah diberi gambaran bahawa tentera Yahudi ‘malang’ berkenaan adalah mangsa kekejaman pihak Palestin yang tidak bertimbang rasa.

Kita diberi gambaran seolah-olah mangsa itu dibedil dengan bom paling kuat dicipta manusia. Kita diberi gambaran bahawa keadaan mangsa itu begitu parah hingga perlu mendapat simpati dunia.

Lebih daripada itu rata-rata pembaca laman web berkenaan menuntut Israel membalas dendam dengan menghancurkan keseluruhan Bint Hanoun - lokasi roket itu dilancar. Sebelum tergesa-gesa untuk bertindak sedemikian, eloklah kita teliti apakah kesan sebenarnya serangan roket Qassam itu.

Media Israel melaporkan, dalam kejadian itu empat askar parah, kira-kira 27 cedera ringan dan yang lain hanya mengalami kejutan. Mungkin ini menjelaskan kenapa angka mangsa meningkat kerana askar yang terkejut pun dikira sebagai mangsa.

Bayangkan, askar daripada pasukan tentera keempat paling gagah di dunia pun (kini mungkin jatuh satu tangga selepas dikalahkan Hizbullah tahun lalu) boleh terkejut dengan letupan bom Qassam.

Apakah bom Qassam ini? Adakah ia setanding dengan bom nuklear yang dimiliki tentera Israel?

Menurut ensaiklopedia online percuma Wikipedia, Qassam adalah roket keluli diisi bahan letupan yang dibuat kumpulan pejuang Palestin Hamas. Qassam yang datang dalam tiga model sering di salah panggil sebagai peluru berpandu.

Ia sebenarnya adalah roket yang terbang bebas tanpa sebarang sistem kawalan dan membawa bahan letupan sehingga 10 kilogram.

Sejak ia mula digunakan pada 2001, roket itu hanya menyebabkan 12 kematian, lantas ia lebih memberi ancaman psikologi daripada ancaman sebenar.

Berikutan kejadian serangan berkenaan , timbul persoalan mengapa Israel takut dengan Qassam?

Sebenarnya, mereka tidak takut kepada Qassam, mahupun apa saja senjata yang dimiliki pejuang Palestin.

Selain dibekalkan senjata tercanggih, Tel Aviv turut mempunyai jaminan perlindungan Amerika Syarikat pada bila-bila masa dan tanpa banyak soal.

Namun, setiap kali ‘dijentik’, Israel akan meraung seolah-olah ia diserang hebat. Ia menuntut simpati dunia dan tanpa menunggu lama akan membalas dengan serangan yang tidak setimpal dengan pukulan asal.
Begitulah strategi Israel yang mahu memaparkan dirinya sebagai mangsa yang sentiasa dalam ketakutan kerana bila-bila masa boleh diserang pejuang ‘kerdil’ Palestin.

Strategi ini yang disokong media Barat, berjaya menanam persepsi bahawa Israel adalah mangsa dan pejuang Palestin adalah pengganas kejam.

Mungkin Palestin perlu mengambil iktibar daripada strategi yang digunakan rejimZionis. Bukankah pada satu ketika dulu African National Congress (ANC), pimpinan Nelson Mandela juga dianggap kumpulan pengganas?

Namun, hasil daripada perancangan rapi untuk mengubah persepsi masyarakat antarabangsa, ANC akhirnya berjaya diterima sebagai pejuang demokrasi dan kerajaan orang putih aparteid pula dianggap ‘sampah dunia.’

Khaidir Majid

Penulis adalah Pengarang Meja Luar Negara, Berita Harian

Berita Harian 14 September 2007